Bina Clubhouse di Kuantan, Perkukuhkan ‘Fan Base’ Antara Tumpuan Sri Pahang Tahun Ini
January 20, 2021 Hafizuddin Omar

Nota: Gambar sekadar hiasan.

Tumpuan Kelab Bola Sepak Sri Pahang (Sri Pahang FC) bukan sahaja terarah kepada pembentukan sebuah pasukan yang mampu mencabar pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia 2021.

Sesuai dengan perubahan daripada entiti ‘Football Association’ kepada ‘Football Club’ yang bermula pada tahun ini, Sri Pahang sudah merancang beberapa perkara untuk memperkasakan pasukannya terutamanya melibatkan hal-hal di luar padang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang, beliau berkata, antara perancangan yang akan dilakukan adalah membina sebuah clubhouse berserta tempat latihan baharu buat pasukan berpangkalan di pantai timur ini.

Sebuah pusat latihan bola sepak yang didirikan oleh Nike di Soweto, Afrika Selatan.

“Selain daripada membentuk pasukan yang mantap dan boleh mencabar kelab-kelab yang lain, kita juga merancang untuk membina atau mencari tempat latihan yang baru, dan juga membina (sebuah) clubhouse yang lebih baik, itu menjadi impian kita.” kata Suffian kepada Sukanz.

Difahamkan clubhouse dan tempat latihan yang baharu buat skuad yang terkenal dengan julukan Tok Gajah ini akan dibina di Kuantan sesuai dengan lokasinya yang menempatkan Stadium Darul Makmur serta ibu negeri Pahang.

Ianya akan dilengkapi dengan beberapa buah padang yang memadai untuk kegunaan latihan buat sebuah kelab bola sepak profesional. Perancangan ini bertujuan untuk memberikan kemudahan yang lebih baik buat para pemain dan pengurusan Sri Pahang.

Perkukuhkan ‘Fan Base’ Menerusi Pembentukan Pasukan Media Yang Mantap

Selain daripada memberikan tumpuan kepada pembinaan fasiliti dan kemudahan, Suffian turut berkongsikan bahawa Sri Pahang mahu menggemblengkan tenaga untuk memperkukuhkan ‘fan base’.

Untuk menjalankan usaha ini, sebuah pasukan media yang mantap daripada segenap posisi akan dibina agar dapat meningkatkan penglibatan dan mendekatkan para penyokong Tok Gajah bersama pasukan.

“Kita akan membentuk satu pasukan media yang mantap, dan kita juga mengalu-alukan komen membina daripada (pihak) media untuk membangunkan pasukan media ini.

“(Pasukan) media ini kita perkukuhkan daripada segi keterlibatan dengan pengurusan.” katanya.

Buat masa ini, segala usaha untuk memperkukuhkan ‘fan base’  akan dicurahkan menerusi platfrom atas talian (online) memandangkan pandemik Covid-19 yang masih menular dalam negara.

Berdasarkan pemerhatian, skuad Tok Gajah mempunyai hampir 400,000 pengikut secara keseluruhan di platfom media sosialnya yang merangkumi Facebook, Instagram dan Twitter.

Akaun Facebook rasmi Sri Pahang FC
Akaun Instagram Rasmi Sri Pahang FC
Akaun Twitter rasmi Sri Pahang FC

Segala sesi bertemu para peminat dan penyokong pula sukar untuk diadakan buat masa ini memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dijalankan di hampir seluruh negara serta larangan untuk berkumpul secara beramai-ramai.

Sementara itu, Suffian amat mengharapkan sokongan daripada penyokong serta semua pihak untuk memberikan masa kepada Sri Pahang bagi menjalankan usaha-usaha ini. 

“Jangka masa untuk melakukan sesuatu benda itu tidak boleh disiapkan dalam masa sehari, ianya memerlukan perancangan dan sebagainya,”

“Untuk maju ke hadapan dalam bola sepak kita perlukan perancangan, itu matlamat kelab dan saya sendiri,” katanya lagi.

Featured Image: Sports Clubhouses

Komen