Aspek kerajinan dan kerja keras yang dimiliki oleh pemain tengah menyerang kelahiran Mali, Makan Konate menjadi tarikan besar buat ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain untuk mendapatkan khidmatnya.
Konate yang merupakan bekas pemain Persebaya Surabaya diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu Terengganu FC menerusi sebuah video pengenalan pemain di pelbagai media sosial milik kelab tersebut, pada hari ini.
Untuk makluman, Konate bukanlah seorang pemain yang asing terutamanya buat peminat bola sepak di negeri yang terletak di pantai timur semenanjung tersebut. Sekitar lima tahun lalu, Konate pernah mewakili pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu, T-Team FC.
Ketajamannya merobek jaring gol lawan masih berbekas di ingatan segelintir peminat bola sepak di negeri tersebut sehinggakan kehadirannya telah membantu pasukan T-Team mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia 2016.
“Kita ambil Makan Konate kerana dia sudah biasa dengan liga dan suasana di sini, selain itu, dia juga merupakan pemain yang sukses di Indonesia sepertimana David da Silva.”
“Kita (memerlukan) pemain seperti Konate untuk pasukan kerana dia mempunyai teknik yang bagus, rajin dan (seorang) pemain yang bekerja keras. Khidmatnya diambil untuk mempertingkatkan lagi pasukan kita.” ulas Nafuzi ketika dihubungi oleh Sukanz, petang tadi.
Bagaimanapun, jodoh Konate bersama T-Team hanya bertahan selama dua musim sahaja. Pada tahun 2018, Konate kembali ke saingan Liga Indonesia dengan menyertai pasukan Sriwijaya FC.
Namanya ‘meletup’ dalam saingan bola sepak di sana apabila berhijrah ke pasukan Arema FC pada awal tahun 2018. Musim tersebut menyaksikan Konate memahat namanya selaku penjaring kedua terbanyak liga dengan rekod 20 gol.
Manakala, musim seterusnya, namanya masih tersenarai dalam kalangan 10 penjaring terbanyak dengan catatan 14 gol. Ianya merupakan satu rekod yang ‘menggilakan’ jika mengambil kira posisi yang dimainkan oleh Konate adalah pemain tengah menyerang dan bukannya seorang penyerang tulen.
Mengulas mengenai peranannya di Terengganu FC pada musim 2021 kelak, Nafuzi berkata, “memang posisinya attacking midfield tetapi dia belum lagi turun berlatih bersama kita lagi. Kita akan lihat (terlebih) dahulu semasa sesi latihan dan perlawanan persahabatan kelak. Selepas itu, barulah kita lihat posisi yang sesuai untuknya.”
Pengumuman pemain berusia 29 tahuntersebut pada hari ini bukan sahaja melengkapkan kuota pemain import malahan turut melengkapkan skuad Terengganu FC untuk musim ini. Sebelum ini, pasukan kendalian Nafuzi ini telah mengikat khidmat Carli de Murga, Chris Herd, Petrus Shitembi dan David da Silva.
Featured Image: Terengganu FC