Rakan sepasukan kepada penyerang terkenal, Pierre-Emerick Aubameyang dalam skuad kebangsaan Gabon dikhabarkan sedang menuju ke salah sebuah pasukan dalam saingan Liga Super Malaysia.
Namanya ialah Levy Madinda dan merupakan seorang pemain tengah menyerang yang berusia 28 tahun. Perkara ini didedahkan oleh agensi pemain milik adik beradik Insa iaitu InsaProject Global Group menerusi akaun instagram mereka, pada hari ini.

Tiada sebarang kepastian pasukan manakah yang dituju oleh pemain ini. Namun desas-desus bertiup kencang bahawa pemain ini sedang ‘terbang’ ke pasukan yang berpangkalan di Timur Malaysia iaitu Sabah FC.
Hal ini kerana pasukan yang dibimbing oleh Kurniawan Dwi Yulianto tersebut masih belum melengkapkan senarai pemain importnya lebih-lebih lagi di posisi tengah menyerang selepas pemergian bekas pemain importnya musim lalu, Petrus Shitembi ke Terengganu FC.

Walaupun masih di peringkat ‘rumors’, Sukanz ingin menyajikan empat perkara menarik mengenai pemain tengah menyerang, Levy Madinda untuk pengetahuan para pembaca sekalian:
#1 Sekitar Tiga Tahun Terakhir Ini Beraksi Dalam Kancah Bola Sepak Turki
Pemain kelahiran Libreville, Gabon ini menghabiskan sekitar tiga tahun terakhirnya beraksi dalam saingan bola sepak Turki. Ketika ini, dia bersama pasukan yang beraksi dalam saingan divisyen dua liga Turki iaitu Giresunspor. Pasukan ini disertai Levy pada awal musim 2020/21. Menurut info, dia masih mempunyai baki kontrak bersama kelab ini sehingga akhir jun tahun ini. Sebelum itu, dia beraksi bersama Ankara Keciorengucu dan Umraniyespor masing-masing pada musim 2019/20 dan 2019/18.
#2 Menyertai Kelab Sepanyol, Celta Vigo Pada Usia 18 Tahun
Levy memulakan karier bola sepaknya bersama sebuah kelab di tanah airnya iaitu Stade Mandji. Namun selepas dua tahun bersama pasukan tersebut, Levy mengambil keputusan untuk terbang ke Sepanyol pada tahun 2010 dengan menyertai Celta Vigo pada usia 18 tahun.
Bermula dengan pasukan simpanan, Celta Vigo B, Levy perlahan-lahan berjaya melangkah ke skuad utama pasukan tersebut pada tahun 2012. Bagaimanapun, penampilannya bersama Celta Vigo tidaklah begitu memberangsangkan dan pada musim 2016 dia dipinjamkan ke pasukan Gimnastic de Tarragona.
#3 Pemain No.10 Yang Mampu Melakukan Rembatan Padu Dari Luar Kotak
Sebagai seorang pemain tengah menyerang, Levy diturunkans sebagai pemain No.10, mengisi posisi di belakang penyerang utama. Tugasnya adalah melakukan lorongan atau ‘through pass’ kepada penyerang apabila menghidu sebarang peluang.
Antara kelebihan yang lain ada pada Levy adalah mempunyai gerakan yang lincah dan bijak mengawal bola walau diberikan tekanan oleh pihak lawan. Namun, salah satu kelebihannya adalah mampu melakukan rembatan padu dari luar kotak penalti untuk memberikan gol kepada pasukannya. Sebagai bonus, dia juga merupakan pengambil sepakan penalti buat pasukannya.
#4 Sebahagian Daripada Skuad Gabon Yang Memenangi CAF U-23 Championship 2011
Pada tahun 2011. Levy terpilih untuk mewakili negara untuk beraksi dalam kejohanan yang julung kalinya diadakan di benua afrika iaitu CAF U-23 Championship. Ia merupakan sebuah kejohanan yang diadakan selang empat tahun sekali. Tiga pasukan terbaik daripada kejohanan ini layak untuk beraksi dalam temasya Sukan Olimpik.
Pada ketika itu, Levy yang berusia sekitar 19 tahun berjaya membantu Gabon menjuarai saingan tersebut dengan menumpaskan tuan rumah, Maghribi dengan keputusan akhir 2-1. Kejayaan itu juga membolehkan Gabon menyertai temasya Sukan Olimpik 2012 London. Untuk makluman, bermula edisi kedua pada tahun 2015, kejohanan ini dikenali sebagai Africa U-23 Cup of Nations.