Thomas Dooley Tumpukan Kepada Kawalan Bola & Serangan Balas
February 23, 2021 Hafizuddin Omar

Aspek kawalan bola dan serangan balas menjadi keutamaan ketua jurulatih Sri Pahang FC dalam aksi perlawanan persahabatan pramusim yang diharungi pasukan bimbingannya sebelum bermulanya sepak mula Liga Super 2021.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Terengganu FC II dalam kejohanan Shah Alam City Cup pada ahad lalu, pengendali kelahiran Amerika Syarikat ini menzahirkan perasaan puas dengan permainan yang ditampilkan oleh barisan pemainnya terutamanya pada separuh masa pertama.

Walaubagaimanapun, Dooley mengakui tahap kecergasan anak-anak buahnya dalam perlawanan tersebut menurun pada separuh masa kedua permainan namun tiada sebarang kekesalan besar diluahkan olehnya sejurus tamat perlawanan tersebut.

“Saya boleh nampak pemain-pemain begitu gembira dan teruja apabila berdepan aksi persahabatan menentang TFC II semalam memandangkan kita semua tahu bagaimana mencabarnya latihan ketika ini.

“Pada separuh masa pertama, saya berpuas hati dengan apa yang dilakukan pemain untuk kami mendahului terlebih dahulu, tetapi selepas itu, kecergasan mereka sedikit menurun pada separuh masa kedua untuk lawan kemudiannya menyamakan kedudukan.

“Cuma secara keseluruhan, saya tidak mahu terlalu melihat kepada jaringan, tetapi bagaimana mereka dapat mengawal bola dan menyerang kembali, itu yang paling penting sekarang ini.

“Jadi, saya boleh katakan dalam 70 peratus pemain-pemain sudah bersedia dan serasi, cuma lagi 30 peratus masih ada yang perlu dipertingkatkan kerana kita semua tahu macam mana singkat aksi pra-musim ketika ini, dan yang penting adalah fokus sehingga ke perlawanan sebenar nanti,” jelasnya.

Perlawanan tersebut menyaksikan Sri Pahang FC seri 2-2 dengan TFC II menerusi jaringan yang dilakukan oleh Hafiz Ramdan dan penyerang import baharu, Pedro Henrique.

Untuk aksi seterusnya, mereka akan berdepan pasukan tuan rumah, UiTM FC yang dibimbing oleh Frank Bernhardt. Sepak mula aksi tersebut dijadualkan pada jam 9 malam, hari ini.

Untuk makluman, Sri Pahang FC hadir ke Shah Alam pada Sabtu lalu bagi menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh pasukan UiTM FC untuk menggantikan Perak FC yang menarik diri pada saat akhir.

Featured Image: Sri Pahang FC

Komen