Pendatang baharu, KL United Mampu Buru ‘Top 5’ Liga Super
February 24, 2021 Hafizuddin Omar

Pasukan yang baru sahaja dinaikkan pangkat, Kuala Lumpur United Football Club (KL United FC) dilihat mampu memburu kedudukan lima teratas dalam saingan Liga Super 2021 yang dijadualkan bermula pada 5 mac kelak.

Keyakinan itu dizahirkan sendiri oleh seorang peminat tegar skuad ibu kota, Khairul Nizam selepas melihat KL United bakal mengharungi saingan musim ini dengan dibarisi dengan beberapa pemain tempatan ternama seperti Hadin Azman, Safee Sali, Irfan Zakaria, Akram Mahinan serta pemain-pemain import yang berkaliber.

“KL United tak sepatutnya sasarkan semata-mata untuk kekal (dalam saingan Liga Super) sahaja,” katanya kepada Sukanz.

Semalam, KL United yang dibimbing oleh Bojan Hodak turun menentang Sabah FC dalam satu aksi persahabatan pramusim di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Aksi yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial itu berkesudahan dengan keputusan 4-1 memihak kepada KL United hasil jaringan Dominique da Sylva, Paulo Josue dan Romel Morales. Manakala, jaringan tunggal pasukan Sabah pula dihasilkan oleh Bobby Gonzales.

Khairul Nizam

Nizam yang mula mengikuti perkembangan pasukan ini dengan rapat sejak 10 tahun yang lalu amat berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan KL United walaupun menyedari majoriti pemain belum mencapai tahap kecergasan 100%.

Hal ini kerana beliau sedia maklum bahawa para pemain sudah lama tidak beraksi pada perlawanan tahap kompetitif setelah tamatnya saingan bola sepak domestik, pada penghujung tahun lalu.

“(Aspek) keserasian boleh perbaiki lagi apabila berlatih lagi lama bersama-sama. (Bahagian) attacking nampak tajam, defensive boleh kata solid. Tapi ini baru lawan Sabah yang guna seorang player import. Nak tengok macam mana lawan Selangor nanti.” jelasnya ketika mengulas mengenai persembahan KL United.

Dalam perlawanan tersebut, Nizam memilih penyerang Mauritania, Dominique yang menjaringkan satu gol dan mencipta satu ‘assist’ selaku pemain terbaik perlawanan. Menurutnya, kombinasi penyerang tinggi lampai ini bersama kapten pasukan Paulo Josue dilihat amat memukau.

Walaupun pasukannya menampilkan persembahan yang memuaskan secara keseluruhan, Nizam mengharapkan KL United dapat mempertingkatkan aspek overlapping daripada kedua-dua pemain bek kiri dan kanan pasukan.

“Daripada game semalam, saya masih kurang berpuas hati dengan bahagian fullback. Daniel Ting dengan Kamal Azizi nampak macam terlalu defensive. Mausim lepas, Qayyum Marjoni rajin overlap untuk hantar bola. Kalau ada fullback pakar overlap, Hadin dan Indra bolehlah rajin sikit masuk ke dalam.”

“Lagi satu untuk bahagian sayap kanan, KL United kena cuba kuatkan lagi. Indra pemain bagus dan berpengalaman, tapi kalau nak expect dia main full sepanjang musim memang mustahil. Kena cuba letak Azim Rahim di situ kalau tak nak bagi dia jadi second striker. Pemain yang lincah.” jelasnya.

Untuk makluman, ini merupakan perlawanan persahabatan kedua yang diharungi KL United dalam usahanya untuk mempersiapkan pasukan. Perlawanan pertama adalah pada sabtu lalu, menentang skuad Negeri Sembilan FC di mana mereka tewas 0-1 kepada pasukan yang beraksi saingan di Liga Premier tersebut.

Perlawanan persahabatan seterusnya, KL United akan turun menentang Selangor FC kendalian Karsten Neitzel pada hari sabtu ini, di stadium yang sama. Perlawanan ini akan disiarkan secara langsung di Astro.

Featured Image: Khatul Anuar Twitter

Komen