Safwan Si Penyerang Bertukar Menjadi Bek Kanan & Marco Seorang Jurulatih Yang Tegas
March 1, 2021 Hafizuddin Omar

Kelantan FC bakal mengharungi saingan Liga Premier 2021 dengan mempertaruhkan skuad yang dipenuhi dengan majoriti pemain-pemain muda namun ianya turut diadunkan dengan beberapa pemain senior tempatan serta pemain import.

Antara pemain senior tempatan yang mencuri tumpuan dalam skuad serba baharu berpangkalan di Kota Bharu ini adalah kapten pasukan, Che Mohamad Safwan Che Hazman yang beraksi di posisi bek kanan.

Bercerita mengenai pemain berusia 25 tahun ini, menariknya, pada permulaan karier bola sepaknya, Safwan mendedahkan dia beraksi sebagai penyerang dan pemain sayap kanan dan bukannya sebagai pertahanan bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada tahun 2014.

Sebelum bertukar menjadi pemain bek kanan, Safwan turut berkongsikan bahawa ketua jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Frank Bernhardt pernah menukarkannya untuk bermain sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder) ketika panggilan persediaan skuad Sukan SEA.

Namun pada tahun 2017 ketika bersama pasukan Perlis, ketua jurulatih di masa itu, Syamsul Saad mengarahkannya bermain di posisi bek kanan berdasarkan potensi yang dimilikinya.

“(Pada peringkat awal) saya ditukar ke posisi pertahanan kanan agak keliru juga, (sebab) kebiasaannya saya bermain di bahagian serangan dan kali ini bertukar di posisi bertahan,

“Tetapi Coach Syamsul kata, saya tahu suatu hari nanti awak akan berterima kasih kepada saya sebab tukarkan awak menjadi pertahanan kanan. Saya nampak ada satu potensi untuk awak beraksi sebagai pertahanan kanan.” katanya kepada Sukanz.

Bermula daripada saat itu, Safwan terus membiasakan dirinya bermain di posisi tersebut termasuk ketika beraksi bersama Pulau Pinang (2019), Negeri Sembilan (2020) dan kini semakin selesa di posisi tersebut bersama pasukannya yang terkini, Kelantan FC.

“Saya beraksi secara tetap sebagai bek kanan tetapi saya juga boleh bermain (posisi) defensif sebagai pemain tengah bertahan dan bek kiri,” tambahnya lagi. 

Marco Ragini Jurulatih Tegas Yang Sedang Menerapkan Gaya Eropah

Selain daripada membariskan skuad yang rata-ratanya muka baharu, Kelantan FC di bawah pemilik Norizam Tukiman turut mendapatkan sentuhan daripada ketua jurulatih kelahiran San Marino, Marco Ragini.

Ini merupakan kali pertama dalam karier kejurulatihannya membimbing pasukan berpangkalan di asia tenggara. Sebelum ini, beliau banyak mencurahkan bakti di benua eropah selain pernah berkelana di asia selama beberapa bulan bersama FC Ulaanbaatar yang berpangkalan di Mongolia.

Bercakap mengenai jurulatih berusia 53 tahun ini, Safwan berkata, Ragini merupakan seorang yang tegas namun pada masa yang sama merupakan seorang yang bertoleransi dan amat terbuka untuk mendengar pendapat daripada pihak lain termasuk daripada pemain-pemainnya.

“Coach Marco seorang yang tegas tetapi bukanlah tegas yang tidak tentu hala, dia seorang yang boleh dibawa berbincang,” jelasnya.

Pada saat ini, Marco sedang berusaha untuk menerapkan gaya falsafah bola sepak gaya eropahnya untuk pasukan The Red Warrior sebagaimana yang dimahukan juga oleh pemilik pasukan, Norizam Tukiman.

Bagaimanapun, Safwan berpendapat Kelantan FC yang terdiri oleh majoriti pemain-pemain muda ini akan mengambil sedikit masa sebelum dapat memainkan gaya yang dimahukan oleh Marco secara sepenuhnya.

Skuad Yang Terlalu Muda Tetapi Bersemangat Tinggi

Selain daripada dirinya, antara tonggak senior lain yang menyarung jersi Kelantan pada musim ini ialah Farizal Harun, Nurshamil Abd Ghani dan Faridzuean Kamaruddin.

Sementara itu, mereka turut dikuatkan dengan kehadiran tiga pemain berpengalaman dari benua eropah iaitu Jack Hindle (England), Christos Intzidis (Greece) dan Mario Arques (Sepanyol) yang masing-masing berusia 27 tahun, 28 tahun dan 29 tahun. 

Secara keseluruhan, pemain yang dibesarkan di Tumpat berpandangan skuad Kelantan pada kali ini sangat muda iaitu di bawah usia 24 tahun namun mereka mempunyai semangat dan keterujaan yang tinggi dalam bola sepak.

Bagaimanapun, sebagai pemain yang mempunyai pengalaman sekitar empat musim beraksi dalam kancah Liga Premier, semangat dan keterujaan yang tinggi semata-mata tidak cukup untuk memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain.

“Pasukan ini merupakan pasukan yang muda dan mempunyai semangat dalam bola sepak tetapi bagi saya kita kekurangan pengalaman untuk duduk (beraksi) dalam padang.” katanya sambil menegaskan tidak memandang mudah cabaran di saingan Liga Premier.

Safwan turut menambah, para pemain muda Kelantan FC perlu terus belajar untuk membentuk keserasian antara satu sama lain serta menyesuaikan diri dan mengawal tekanan ketika beraksi di dalam padang.

Sekiranya pihak kerajaan dan penganjur liga membenarkan pula para penyokong untuk kembali ke stadium, mereka juga perlu belajar untuk bermain di bawah tekanan dengan kehadiran para penyokong tidak kiralah ketika beraksi di laman sendiri atau lawan.

Sementara itu, mengulas mengenai dua perlawanan persahabatan pramusim yang diharungi oleh The Red Warrior, Safwan berkata aksi pasukannya tampil semakin baik terutamanya ketika menentang Melaka United berbanding skuad Terengganu FC II, pada jumaat yang lalu.

“Pemain-pemain semakin faham formasi, taktikal untuk gameplay dan sebagainya (yang diterapkan oleh Coach Marco).” katanya.

Untuk makluman, Kelantan FC akan membuka tirai kempen Liga Premier 2021 dengan bertemu Perak FC II di gelanggang mereka sendiri, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Sepak mula perlawanan dijadualkan pada pukul 4.45 petang, pada 6 mac.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen