Kerteh FC, Muzium 3D Bekerjasama Tarik Pelancong ke Pantai Timur
March 8, 2021 Hafizuddin Omar

Kelab bola sepak komuniti, Kerteh FC dan galeri seni lukis ilusi dan tiga dimensi (3D) pertama di Terengganu, Muzium 3D Kertih mengumumkan menjalinkan kerjasama, pada hari ini.

Kedua-dua entiti ini mengikat kerjasama untuk menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke pantai timur semenanjung, khususnya di daerah Kemaman, lokasi bertapaknya kelab bola sepak dan galeri seni lukis ilusi ini.

Menerusi kerjasama ini, kedua-dua Kerteh FC dan Muzium 3D Kertih akan menggunakan ‘platform’ masing-masing untuk saling melakukan promosi kepada orang ramai.

“Melalui kesepakatan ini, Kerteh FC akan menggunakan rangkaian yang ada untuk membantu mempromosikan Muzium 3D Kertih. 

“Kami mempunyai misi yang sama iaitu untuk menjadikan daerah Kemaman amnya, dan Kertih khasnya sebagai destinasi pelancongan.

“Apabila kompleks sukan kami siap kelak akan menjadi daya penarik bagi pelancongan sukan.

Baca: Kerteh Sports City Turut Mempunyai Gelanggang Futsal, Badminton & Medan Selera

“Justeru, sebagai kelab bola sepak komuniti di Kertih, kami berbangga dapat membawa bersama Muzium 3D Kertih untuk diperkenalkan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC, Syed Khairi Amier.

Sementara itu, Muzium 3D Kertih yang memiliki lebih 50 karya seni dan mula beroperasi sejak 2 januari lalu meluahkan rasa berbesar hati dapat ‘menempel’ bersama Kerteh FC yang kini bukan sahaja dikenali dalam kalangan peminat dalam negara malahan antarabangsa.

“Kami berbesar hati kerana Kerteh FC bersedia bekerjasama dengan kami memandangkan Kerteh FC merupakan jenama yang semakin membesar dan semakin mendapat perhatian peminat bola sepak di negara ini.

Antara lukisan yang terdapat di Muzium 3D Kertih
Antara lukisan yang terdapat di Muzium 3D Kertih

“Diharapkan dengan kerjasama ini dapat membantu mempromosikan Muzium 3D Kertih dan menarik pengunjung ke muzium kami apatah lagi nama Kerteh FC turut dikenali di beberapa negeri di Eropah dan Australia,” kata Lukman Ismail, Pengarah Urusan Serata Cakra Resources, pemilik Muzium 3D Kertih. 

Untuk makluman, logo Muzium 3D Kertih akan dilekatkan pada jersi latihan Kerteh FC dan kelab itu akan mempromosikan muzium itu dalam bahan-bahan kempen dan promosinya termasuk jualan tiket masuk galeri. 

Manakala Muzium 3D Kertih pula turut mempromosikan Kerteh FC di galeri muziumnya serta menerusi bahan-bahan kempen dan promosi. Di samping itu, Muzium 3D Kertih juga akan menjadi ejen jualan yang sah bagi barangan keluaran Kerteh FC.

Featured Image: Kerteh FC & Muzium 3D Kertih

Komen