Sejam Pertama Selangor Tak Garang, Tak Menekan Terengganu
March 10, 2021 Hafizuddin Omar

Sekitar sejam pertama, pasukan pelawat, Selangor FC tidak menampilkan corak permainan yang sebenar ketika bertemu Terengganu FC dalam aksi kedua saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

Perkara itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel selepas akur dengan kekalahan 3-1 di tangan pasukan tuan rumah hasil jaringan Jordan Mintah, Rahmat Makasuf, Shahrul Nizam (G.S) dan Hakimi Abdullah.

Shahrel Fikri ketika menentang Terengganu – Foto: Selangor FC

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Jerman ini percaya corak permainan anak-anak buahnya mungkin berubah sekiranya percubaan oleh Shahrel Fikri menemui jaring gol pasukan lawan, pada babak awal.

“(Sekitar) 50 atau 60 minit pertama bukanlah seperti corak yang dimainkan pada perlawanan terdahulu (menentang Sri Pahang), kami sukar untuk menekan (pressing) pasukan lawan,

“Pada separuh masa pertama kami mempunyai beberapa peluang dan salah satunya rembatan oleh Eky yang terkena tiang, mungkin jika dia menjaringkan gol itu dan permainan akan jadi lebih baik buat kami,” kata Karsten dalam sidang media selepas perlawanan.

Karsten Neitzel – Foto: Selangor FC

Memasuki babak kedua, selepas tersentak dengan jaringan kedua Terengganu oleh Rahmat pada minit ke-61, skuad Red Giants bangkit menampilkan permainan yang lebih garang di atas padang dan mengasak Terengganu secara bertubi-tubi.

Kemasukan penyerang muda, Danial Asri turut memberikan nafas baharu kepada barisan serangan Selangor dan pemain ini turut menjadi punca kepada jaringan sendiri pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam pada minit ke-74.

Aksi Danial Asri ketika berhadapan dengan pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam – Foto: Selangor FC

Ketua jurulatih pasukan tuan rumah, Nafuzi Zain yang menyedari situasi tersebut membuat keputusan memasukkan pemain defensif, Hafizal Mohamad menggantikan pemain tengah, Nasir Basharuddin untuk mengukuhkan lagi barisan pertahanan.

Beliau turut memasukkan bek kanan yang lebih segar, Azam Azmi Murad menggantikan Azarul Nazarith yang sudah keletihan di posisi yang sama untuk mengekalkan pendahuluan yang dimiliki.

“(Pada) 30 minit terakhir, pasukan cuba memberikan segala-galanya, mereka bermain dengan baik, mencipta peluang gol dan menunjukkan persembahan yang baik tetapi ianya masih tidak cukup untuk mengalahkan Terengganu dan untuk itu tahniah buat mereka.” tambahnya lagi.

Karsten turut mengakui kekalahan ini sesuatu yang tidak menggembirakannya namun mereka perlu melakukan persiapan untuk perlawanan seterusnya menentang seteru Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur City di halaman sendiri, sabtu ini.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen