Penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva mungkin membuat penampilan pertama bersama pasukan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika perlawanan menentang UiTM FC, sabtu ini.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh ketua jurulatih skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora nemandangkan penyerang yang baru ditandatangani oleh JDT daripada kelab Serie A Brazil, Fortaleza tamat tempoh kuarantin, hari ini.
Untuk makluman, khidmat Bergson telah diikat secara pinjaman dengan pilihan untuk mendapatkannya secara tetap dan diumumkan secara rasmi oleh JDT menerusi satu makluman oleh Pengarah Sukan, Martin Prest pada awal mac lalu.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Mexico ini akan menguji tahap kecergasan dan kesediaannya apabila menyertai sesi latihan bersama pasukan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menggunakan khidmatnya atau tidak.
“Dia (Bergson) akan selesai menjalani tempoh kuarantin pada esok (hari ini), dan saya akan menilai terlebih dahulu tahap kesediaannya untuk bermain, jika semuanya baik, Sabtu ini dia akan bermain, ” kata Benjamin Mora dalam sidang media selepas perlawanan menentang Penang FC, malam tadi.
Sementara itu, Mora tetap memuji aksi yang ditampilkan oleh penyerang yang dipinjam daripada pasukan simpanan, JDT II iaitu Fernando Rodriguez dalam aksi yang ditampilkan ketika menentang Kedah Darul Aman dan Penang FC.
“Fernando merupakan pemain No. 9 yang bekerja keras, saya boleh harapkannya untuk memberikan tekanan, mungkin dia bukan seorang pemain yang berskil untuk membawa bola melakukan ‘turn’ dan menggelecek, tetapi dia melakukan tugasnya,” jelasnya.
Dalam perlawanan menentang skuad bimbingan Tomas Trucha di Stadium Sultan Ibrahim pada malam tadi, penyerang kelahiran Sepanyol ini telah menjaringkan satu gol pada minit ke-85 sekaligus memberikan kemenangan 2-0 kepada JDT.
Satu lagi jaringan disumbangkan oleh Leandro Velazquez selang empat minit sebelum menerusi sepakan penalti yang menewaskan penjaga gol, Samuel Sommerville dengan mudah.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers