Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak tampil memuji persembahan yang ditampilkan oleh pemain muda, Muhammad Izreen Izwandy ketika menentang UiTM FC, semalam.
Pemain berusia 20 tahun ini diberikan peluang oleh Bojan untuk membarisi kesebelasan utama dengan mengisi posisi sayap kiri KL City.
Kepercayaan yang diberikan untuk membarisi kesebelasan utama dibalas oleh Izreen bukan sahaja dengan menampilkan persembahan yang baik dan memberikan banyak masalah kepada pertahanan UiTM.
Akan tetapi, pemain kelahiran Pulau Pinang ini turut menyumbang satu ‘assist’ cantik yang membolehkan Dominique da Sylva mencetak jaringan tunggal sekaligus memberikan KL City mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas skuad The Lions Troop.
“Saya gembira dengan pemain muda, Izreen, dia bermain sekitar 60 minit, ini merupakan satu kejutan buat mereka (UiTM) dan dia bermain dengan sangat baik, saya mengharapkan ini merupakan satu permulaan buatnya dan dia tampil lebih baik pada perlawanan seterusnya,
“Ini akan memberikannya keyakinan kerana pada pendapat saya masalah terbesarnya adalah (tahap) keyakinan, dia sangat kagum bermain dalam saingan Liga Super tetapi pada akhirnya dia menampilkan aksi yang baik.” kata Bojan dalam sidang media selepas daripada perlawanan.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan pertamanya dalam kancah tertinggi bola sepak tempatan, Liga Super. Musim lalu menyaksikan Izreen membuat empat penampilan dalam saingan Liga Premier dan menjaringkan satu gol buat pasukan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Bojan gembira dengan kejayaan pasukannya mencatatkan kemenangan dan memungut tiga pertama dalam saingan liga selepas tewas kepada Penang FC pada aksi pertama, beberapa hari lepas.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Croatia ini masih kurang berpuas hati secara keseluruhannya persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tersebut.
Featured Image: Malaysian Football League