13 Pemain Muda Yang Wajar Diberikan Perhatian Dalam Saingan Liga Super 2021
March 12, 2021 Hafizuddin Omar

Akhirnya saingan bola sepak tempatan kembali menemui para peminat setelah hampir empat bulan bercuti. Ianya dimulakan dengan perlawanan pembuka tirai, Piala Sumbangsih dan diikuti dengan sepak mula pusingan pertama Liga Super 2021 pada hujung minggu lalu.

Sepertimana saingan sebelum ini, sebanyak 12 pasukan menghiasi saingan ini dengan dua daripadanya merupakan pendatang baharu daripada saingan Liga Premier 2020 iaitu Penang FC (juara) dan Kuala Lumpur City FC (tempat ke-3).

Bagi mengharungi cabaran musim ini, sebahagian kelab masih mengekalkan pemain tonggak saingan musim lalu namun tidak kurang juga yang merekrut dan mendapatkan khidmat pemain-pemain baharu tidak kiralah kalangan import mahupun tempatan.

Menariknya, setelah berlangsungnya dua perlawanan Liga Super, beberapa kelab turut dilihat memberikan kepercayaan kepada pemain-pemain muda yang rata-ratanya berumur sekitar 24 tahun untuk menjadi pemain kesebelasan utama dan juga sebagai pemain gantian.

Berikut adalah 13 pemain muda yang bukan sahaja membuat sekurang-kurangnya satu penampilan setakat ini malahan memberikan impak yang baik menerusi persembahannya dan wajar diberikan perhatian khusus oleh para peminat bola sepak tempatan pada musim ini:

#1 Arif Aiman

Foto: JOHOR Southern Tigers

Kelab: Johor Darul Ta’zim

Umur: 18 Tahun 

Tarikh Lahir: 4 Mei 2002

Produk Akademi Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman bukanlah nama yang asing dalam saingan Liga Super. Penyerang muda ini melakukan debutnya bersama skuad senior Harimau Selatan ketika menentang Felda United FC pada tahun lalu. Untuk saingan musim ini, Arif telah membuat penampilan sebanyak dua kali sebagai pemain gantian. Seringkali beraksi di posisi sayap kanan, walaupun masuh muda, Arif merupakan seorang pemain yang mempunyai gelecekan yang baik dan laju.

#2 Rahadiazli Rahalim

Foto: Terengganu Football Club

Kelab: Terengganu FC

Umur: 19 Tahun 

Tarikh Lahir: 29 Mei 2001

Penjaga gol berketinggian 1.92 meter ini mencuri tumpuan para peminat bola sepak tempatan sejak melakukan debutnya ketika perlawanan menentang Perak pada aksi pertama Liga Super 2020. Rahadi telah bermula sebagai pemain kesebelasan utama sebanyak dua kali dan posisi No.1 Terengganu FC dilihat menjadi milik mutlaknya, pada musim ini. Dan berdasarkan pemerhatian, persembahannya semakin menunjukkan peningkatan dan tampak lebih meyakinkan berbanding musim lalu. 

#3 Ramadhan Saifullah 

Ramadhan (No.17) – Foto: JOHOR Southern Tigers

Kelab: Johor Darul Ta’zim

Umur: 20 Tahun 

Tarikh Lahir: 9 Disember 2000

Merupakan anak jati kelahiran negeri Johor, Ramadhan Saifullah disebut-sebut sebagai jelmaan penyerang sayap negera dan JDT, Safawi Rasid yang masih dalam pembikinan. Juga merupakan produk Akademi JDT, Ramadhan tampil pertama kali bersama skuad senior JDT ketika menentang UiTM FC dalam saingan Piala Malaysia 2019. Merupakan seorang pemain sayap yang pantas, Ramadhan juga mempunyai naluri gol yang tinggi. Musim ini, dia telah tampil sebanyak 2 kali sebagai pemain gantian.

#4 Aliff Haiqal Lau 

Foto: Selangor FC

Kelab: Selangor FC

Umur: 20 Tahun 

Tarikh Lahir: 11 Julai 2000

Pemain tengah berbakat, Aliff Haiqal Lau meraih ‘keuntungan’ apabila ketua jurulatih Selangor 2 merangkap Pengarah Teknikal, Michael Feichtenbeiner dilantik sebagai ketua jurulatih skuad senior Selangor, tahun lalu. Disebabkan itu, Aliff berpeluang melakukan debutnya bersama Red Giants ketika menentang UiTM FC dalam saingan Liga Super 2020. Musim ini, pemain lincah ini dikekalkan bersama skuad senior dan disebabkan oleh beberapa kecederaan pemain utama, Aliff diberikan peluang untuk bermula sebagai pemain kesebelasan utama ketika menentang Terengganu FC. Dia juga masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Sri Pahang ketika aksi pertama Liga Super 2021.

#5 Danial Asri 

Foto: Selangor FC

Kelab: Selangor FC

Umur: 20 Tahun 

Tarikh Lahir: 1 April 2020

Sepertimana Aliff Haiqal Lau, penyerang muda ini turut ‘meraih laba’ apabila Michael Feichtenbeiner dilantik sebagai pengendali sementara skuad senior Selangor, hujung tahun lepas. Musim ini, dia kekal bersama skuad senior dan telah melakukan dua penampilan sebagai pemain gantian. Ketika menentang Terengganu FC baru-baru ini, sepakan daripada Danial telah menjadi punca kepada jaringan tunggal Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

#6 Izreen Izwandy 

Foto: Malaysian Football League

Kelab: Kuala Lumpur City FC

Umur: 20 Tahun 

Tarikh Lahir: 16 Julai 2000

Muhammad Izreen Izwandy merupakan pemain muda kelahiran Pulau Pinang dan kini beraksi bersama skuad ibu kota, Kuala Lumpur City FC. Musim lalu, pemain tengah ini membuat empat penampilan dalam saingan Liga Premier dan menjaringkan satu gol. Ketika menentang UiTM FC tempoh hari, Izreen diberikan peluang oleh Bojan Hodak untuk bermula dalam kesebelasan utama sebagai pemain sayap kiri. Kepercayaan itu dibalas dengan menampilkan persembahan cemerlang serta merekodkan ‘assist’ kepda Dominique da Sylva untuk jaringan tunggal dan kemenangan KL City FC.

#7 Hakimi Abdullah 

Foto: Terengganu Football Club

Kelab: Terengganu FC

Umur: 21 Tahun 

Tarikh Lahir: 9 November 1999

Hakimi Abdullah merupakan antara pemain muda baharu yang dipancing oleh Terengganu FC untuk memperkukuhkan lagi skuad berpangkalan di pantai timur ini. Namun tiada siapa yang menyangka, pemain berkaki kidal dan mempunyai larian pantas ini ‘memperkenalkan’ dirinya di pentas Liga Super dengan menjaringkan dua gol daripada dua perlawanan ketika menentang UiTM FC (gol kemenangan) dan Selangor FC (gol membunuh semangat pasukan lawan).

#8 Nik Akif Syahiran

Foto: Terengganu Football Club

Kelab: Terengganu FC

Umur: 21 Tahun 

Tarikh Lahir: 11 Mei 1999

Nik Akif Syahiran bukan satu nama yang perlu diperkenalkan lagi kepada peminat bola sepak tanah air. Memulakan karier bola sepaknya bersama Kelantan dan pernah mewakili skuad kebangsaan peringkat umur bawah 19 tahun (B-19) dan bawah 22 tahun (B-22). Tahun ini, Nik Akif berubah angin dengan menyertai Terengganu FC untuk merebut peluang beraksi dalam saingan Liga Super dan Piala AFC. Penampilan pertamanya ketika menentang UiTM FC diberikan pujian oleh peminat apabila di menjadi arkitek kepada kedua-dua gol yang membolehkan pasukannya melakukan ‘comeback’ menumpaskan pasukan lawan dengan keputusan akhir, 2-1.

#9 Quentin Cheng 

Foto: Penang FC

Kelab: Penang FC

Umur: 21 Tahun 

Tarikh Lahir: 20 November 1999

Untuk memburu minit permainan dalam kesebelasan utama, pemain kacukan Malaysia-Australia ini ‘mendesak’ Selangor untuk membenarkan dirinya dipinjamkan oleh pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke saingan Liga Super, Penang FC. Penghijrahan ini boleh dikatakan berbaloi apabila dia diletakkan sebagai pemain kesebelasan utama sebanyak dua kali oleh Tomas Trucha setakat ini. Beraksi sebagai pertahanan kanan, Quentin juga mampu bermain di posisi wing back sebagaimana ketika beraksi bersama Malaysia B-22.

#10 Azmeer Aris 

Foto: Penang FC

Kelab: Penang FC

Umur: 21 Tahun 

Tarikh Lahir: 5 Ogos 1999

Bek kiri muda yang paling mencuri tumpuan dalam saingan Liga Super 2021. Malah diakui oleh peminat Penang FC sendiri, nama Azmeer tidak terjangka langsung untuk membarisi kesebelasan utama sebanyak dua kali pada musim ini. Dia seorang yang rajin, naik ke atas melakukan ‘overlapping’ dan apabila diserang, dia cepat turun ke bawah untuk kembali bertahan.

#11 Shahrul Nizam Ros Hasni 

Foto: Terengganu Football Club

Kelab: Terengganu FC

Umur: 22 Tahun 

Tarikh Lahir: 25 Mei 1998

Siapa sangka pertahanan tengah yang masih muda dan baru sahaja menyertai Terengganu FC pada jendela perpindahan lalu berjaya mengenepikan nama-nama senior yang lain digandingkan dengan pertahanan import. Sentiasa ‘alert’ dengan situasi semasa dan diberikan peranan selaku ‘last man’. Aksinya ketika menentang Selangor mendapat pujian ramai walaupun tertampan bola ke gawang sendiri.

#12 Adib Raop 

Foto: Malaysian Football League

Kelab: Perak FC

Umur: 21 Tahun 

Tarikh Lahir: 25 Oktober 1999

Anak jati kelahiran Bagan Datuk, Perak ini merupakan seorang lagi pemain muda yang harus diberikan perhatian. Adib telah melakukan debutnya bersama skuad senior pada musim lepas, dan dijangka pemain tengah ini bakal mendapat lebih banyak peluang musim ini. Ketika menentang Sri Pahang baru-baru ini, Adib dimasukkan oleh Chong Yee Fatt untuk menggantikan J. Partiban.

#13 Fairuz Zakaria 

Foto: Kedah Darul Aman FC

Kelab: Kedah Darul Aman FC

Umur: 23 Tahun 

Tarikh Lahir: 25 Mei 1997

Pada jendela perpindahan lalu, Kedah Darul Aman mengambil keputusan untuk melepaskan bek kiri, Alif Yusof. Sekitar pertengahan tahun lalu, Azmeer Yusof telah menamatkan kontrak bersama skuad Hijau Kuning. Justeru, sebelum bermulanya musim ini, Aidil Sharin Sahak membuat keputusan untuk menandatangani khidmat bekas pemain Piala Presiden Kedah, Fairuz Zakaria. Ketika perlawanan Piala Sumbangsih, Fairuz diberikan debut dalam saingan Liga Super. Dalam perlawanan tersebut, walaupun terpaksa mengekang Safawi Rasid dan Arif Aiman, Fairuz kelihatan yakin dan mampu menyerap asakan. Setakat ini, dia telah bermula sebanyak dua kali.

Begitulah senarai 13 pemain muda yang wajar diberikan perhatian menurut pemerhatian kami. Sekiranya anda mempunyai pandangan mengenai pemain-pemain muda lain yang tidak tersenarai, anda boleh nyatakan nama pemain tersebut dia ruangan komen di akaun media sosial Sukanz.

Komen