PSM: Kerajaan Luluskan Peruntukan Penukaran Rumput SNBJ
March 16, 2021 Hafizuddin Omar

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi kerja-kerja penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Justeru, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, pihak PSM akan mengambil tindakan selanjutnya untuk menjalankan proses-proses yang terlibat terutamanya pengujian penanaman rumput bagi mengenal pasti rumput yang terbaik dan bersesuaian untuk di tanam di SNBJ.

Sementara itu, PSM dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut memaklumkan melanjutkan perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2025 untuk mengekalkan SNBJ sebagai ‘Rumah Harimau Malaya’.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di SNBJ pada hari ini dan PSM diwakili oleh pengerusinya, Tan Sri Tony Fernandes manakala FAM pula diwakili oleh presiden, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.

Terdahulu, satu perjanjian bersama yang sama di antara kedua-dua pihak telah ditandatangani pada 15 ogos 2019 sehingga 31 disember 2020.

Menerusi perjanjian lanjutan ini, SNBJ akan menjadi gelanggang sendiri (home) bagi skuad bola sepak kebangsaan bagi mana-mana pertandingan atau kejohanan rasmi.

Selain itu, lanjutan kerjasama selama lima tahun ini menyaksikan pelbagai aktiviti dan program dapat dijalankan di SNBJ seiring dengan statusnya sebagai ‘Rumah Harimau Malaya’.

Antara cadangan lain yang sedang dibincangkan oleh kedua-dua pihak adalah pembinaan Muzium Sukan yang akan turut melibatkan penyertaan pasukan Harimau Malaya.

Featured Image: FAM

Komen