Gandingan Trio Serangan RTK Masih Memerlukan Masa 
March 16, 2021 Hafizuddin Omar

Penyokong Kedah Darul Aman (KDA) sememangnya meletakkan harapan yang tinggi terhadap gandingan trio serangan baharu melibatkan Rabih Ataya, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman (RTK) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, gandingan pemain-pemain ini tidak mencapai jangkaan sepertimana yang diharapkan oleh para penyokong setelah menghadapi tiga perlawanan awal menentang Johor Darul Ta’zim, Sabah dan Penang.   

Salah seorang trio yang membentuk gandingan tersebut, Tchetche menyatakan trio ini belum mencapai keserasian yang baik kerana kemasukan pemain baharu, Rabih Ataya pada jendela perpindahan lalu. 

Pada masa yang sama, ketiga-tiga mereka pula belum beraksi dalam banyak perlawanan secara bersama dan ia memerlukan masa untuk ketiga-tiganya memahami cara permainan masing-masing sebelum menjelmakan gandingan yang ampuh di atas padang.

“Secara peribadi, Ataya sememangnya seorang pemain yang bagus cuma kami masih cuba untuk memahami cara permainan masing-masing di atas padang kerana tidak banyak perlawanan kami telah lalui bersama.

“Saya sememangnya gembira kerana ada pemain seperti dirinya bersama pasukan kerana akan lebih banyak membantu kami pada situasi menyerang kerana bijak membuka ruang kepada rakan sepasukan.

“Situasi dalam pasukan ini juga semakin baik dan harmoni, walaupun kami bermula dengan langkah kiri dengan tewas kepada JDT, namun banyak perubahan pada perlawanan kedua, ” katanya.

Untuk rekod, dalam tiga aksi terdahulu, KDA tewas di tangan juara bertahan, JDT 0-2 sebelum bangkit menggapai kemenangan 2-0 ke atas Sabah.

Pada aksi ketiga, bertemu pasukan seteru di utara semenanjung tanah air iaitu Penang, skuad kendalian Aidil Sharin ini hanya sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1.

Untuk aksi keempat, KDA akan menerima kunjungan pasukan yang menghuni tangga ketiga carta Liga Super iaitu Petaling Jaya City FC (PJ City) di gelanggang sendiri pada malam esok.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen