Skuad berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC terpaksa menerima berita yang mendukacitakan apabila seorang lagi tonggaknya, Azalinullah Alias mengalami kecederaan melibatkan anterior cruciate ligament (ACL).
Kecederaan itu menimpa pemain tengah tersebut ketika melayan kunjungan Melaka United FC pada aksi keempat saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), rabu lalu.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pengurus pasukan, Zulfadli Rozi selepas pemain berusia 25 tahun itu menjalani imbasan magnetic resonance imaging (MRI), pagi tadi.
“Selepas menjalani (imbasan) MRI pada pagi tadi, dia disahkan mengalami kecederaan ACL,”
“Kebiasaannya ia mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan sebelum kembali pulih sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz, petang tadi.
Azalinullah merupakan mangsa kedua daripada skuad Terengganu yang ditimpa kecederaan ini. Mangsa pertama menerima kecederaan yang sama adalah pemain import kelahiran Namibia, Petrus Shitembi.
Sementara itu, Zulfadli turut memberi khabar gembira kepada penyokong Terengganu apabila pemain import kelahiran Australia, Chris Herd kembali cergas dan sedia untuk diturunkan pada aksi kelima liga kelak.
Selain itu, dua orang pemain tempatan iaitu penyerang sayap kiri, Arif Anwar dan pemain tengah, Asnan Ahmad dilaporkan turut cergas dan telah kembali menjalani latihan bersama pasukan.
Bagaimanapun, penyokong perlu menunggu sedikit masa lagi untuk melihat kembali kelibat penggempur kelahiran Brazil, David da Silva untuk mengetuai jentera serangan kerana belum cergas sepenuhnya.
“Chris (Herd) akan menyertai pasukan kita ke Sabah pagi esok kecuali (David da) Silva yang akan kembali menyertai pasukan selepas daripada rehat antarabangsa kelak.” tambahnya lagi sambil menyerahkan kepada kebijaksanaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk mengadunkan 11 pemain terbaik pada perlawanan seterusnya.
Untuk makluman, Terengganu yang berkongsi mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terbang ke Kota Kinabalu pada pagi esok untuk bertemu Sabah di Stadium Likas pada hari ahad.
Featured Image: Terengganu Football Club