Kurniawan Arahkan Pemain Sabah Rantai Konate, Faisal Untuk Kekang Terengganu
March 22, 2021 Hafizuddin Omar

Prestasi semasa Terengganu FC yang belum mencatatkan sebarang kekalahan selepas empat perlawanan Liga Super nyata tidak dipandang enteng ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto.

Justeru, untuk melayan kunjungan Terengganu, Kurniawan melakukan ‘homework’ yang khusus bagi memastikan pasukannya dapat mengutip mata daripada pasukan pelawat pada aksi kelima Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, jurulatih kelahiran Indonesia ini melakukan rombakan terhadap formasi pasukannya dengan menerapkan sistem 4-3-3 berbanding 3-5-2 yang dimainkan sebelum daripada perlawanan ini.

Pertahanan tengah Korea, Park Tae-su diubah ke posisi defensive midfield. Tujuan utamanya adalah untuk membolehkan Sabah merantai perancang serangan Terengganu, Makan Konate yang kini sudah mencipta empat bantuan gol buat rakan sepasukannya.

Selain itu, pemain sayap lincah yang mampu memporak-porandakan barisan pertahanan, Faisal Halim tidak terkecuali daripada diberikan perhatian yang khusus oleh Kurniawan.

Untuk mematikan bola berbahaya daripada pemain berusia 23 tahun ini, Kurniawan meletakkan fullback yang laju supaya dapat menandingi kepantasan larian Faisal.    

“Kita tahu bahawa otak serangan Terengganu dari Makan Konate, saya kenal betul pemain ini kerana lama main di Indonesia,

“Makanya, kita cuba plot Park untuk main di (posisi) defensive midfield, kita pakai (formasi) 4-3-3 tetapi Park ada situ, 

“Saya tugaskan (dia) untuk selalu cuba dekat dengan Makan Konate sehingga dia tidak dapat berleluasa untuk pegang bola,

“Kemudian, kita juga cuba untuk menukar left back kerana kita tahu Faisal ini sangat laju, stok yang ada hanyalah Dendy (Lowa) dan Alto (Linus) yang punyai kecepatan di belakang,

“Jadi kita cuba swap mereka untuk bermain di fullback.” katanya selepas daripada perlawanan semalam.

Ternyata percaturan tersebut membuatkan skuad berpangkalan di pantai timur itu bergelut untuk menembusi benteng Sabah. Mereka juga tidak dapat memainkan corak permainan hantaran pendek dan penguasaan bola sepertimana kebiasaannya.

Sabah pula bijak mengambil peluang yang terhidang untuk melancarkan serangan. Serangan yang dilakukan mereka berhasil memberikan kemenangan 2-1 hasil jaringan Levy Madinda dan Sam Johnson pada babak pertama.

Manakala gol saguhati pasukan Terengganu hadir menerusi penyerang importnya, Jordan Mintah pada minit ke-79.

Untuk makluman, ini juga merupakan kemenangan pertama yang dicatatkan Sabah dalam saingan Liga Super musim ini. Ketika ini mereka menghuni tangga ke-10 liga dengan rekod 4 mata.

Featured Image: Terengganu Football Club

Komen