Jaguh Negara, Lee Zii Jia Kini Berada di Ranking No.8 Dunia
March 24, 2021 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini menghuni ranking kelapan dunia selepas kemaskini baharu oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Ranking atlet yang bakal berusia 23 tahun pada isnin depan itu naik dua anak tangga selepas memenangi kejohanan All England 2021 selepas menumpaskan pemain No.2 dunia, Viktor Axelsen pada perlawanan akhir, ahad lalu.

Tangkap layar ranking badminton dunia, dikemaskini pada 23 Mac.

Sebelum itu, Zii Jia cemerlang menumpaskan wakil Belanda, Mark Caljouw dengan kemenangan dalam dua set berturut-turut pada aksi separuh akhir.

Pada aksi suku akhir, Zii Jia mengatasi jangkaan ramai apabila menumpaskan pemain No.1 dunia kelahiran Jepun, Kento Momota dengan 21-16 dan 21-19.  

Kemenangan dalam kejohanan berprestij itu telah memberikannya pertambahan 7,200 mata berbanding mata dalam ranking sebelum ini. Pertambahan itu menjadikan Zii Jia mengumpul 69,389 mata secara keseluruhan daripada 25 kejohanan yang disertainya.

Ranking No.8 tersebut merupakan yang tertinggi pernah dicapai atlet kelahiran Alor Setar ini sejak bergelar berkecimpung dalam sukan bulu tangkis ini secara profesional pada usia 13.

Sementara itu, kedudukan pertama dan kedua dunia masih kekal di tangan Kento Momota dan Viktor Axelsen.

Featured Image: Yonex All England Badminton Championship

Komen