Kehadiran Bergson Bukti JDT Punyai ‘Scouting’ Yang Bagus 
April 5, 2021 Hafizuddin Omar

Penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya, Johor Darul Ta’zim (JDT) serta saingan bola sepak Malaysia.

Walaupun melakukan penampilan pertamanya ketika menentang UiTM FC pada aksi ketiga liga, dalam masa yang singkat, Bergson kini berkongsi kedudukan dengan penyerang Kedah Darul Aman, Kpah Sherman selaku penjaring terbanyak saingan Liga Super dengan rekod empat gol setakat ini.

Menariknya, pemain berusia 30 tahun ini merupakan seorang pemain dominan kaki kanan tetapi usah dipandang enteng kaki kirinya. Ini dibuktikan apabila Bergson menggunakan kaki kirinya menjaringkan gol pertamanya ketika menentang skuad The Lions.

Gaya permainannya mendapat pujian ramai peminat bola sepak tempatan. Beliau memiliki larian yang deras dan seringkali digunakannya untuk menewaskan pemain lawan sebelum melakukan rembatan ke arah gawang.

Kebolehannya untuk menggelecek di atas padang turut disamakan oleh segelintir peminat dengan bekas penyerang tersohor kelahiran negaranya, Ronaldo Luis Nazario de Lima yang pernah menjulang trofi Piala Dunia sebanyak dua kali.

Selain itu, Bergson turut memiliki ‘positioning’ yang baik. Gol kedua dan ketiga peribadinya ketika menentang Selangor dan Melaka United menunjukkan beliau berada di posisi yang memudahkan rakan-rakan melakukan hantaran untuk kepadanya.

Hadirnya Bergson secara pinjaman selama empat bulan daripada Fortaleza yang bersaing dalam kancah Serie A Brazil ini membuktikan betapa skuad Harimau Selatan mempunyai unit pencari bakat (scouting) yang sangat bagus.

Kita sedia maklum, Bergson bukanlah pilihan pertama JDT untuk menggantikan posisi penyerang ditinggalkan oleh Diogo Luis Santo yang berhijrah ke BG Pathum United.

Calon pertama ialah penyerang kelahiran Brazil, Camilo da Silva Sanvezzo yang beraksi dalam saingan Liga Mexico. Namun pemain tersebut tidak dapat dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim apabila dia diberitakan melanjutkan kontrak bersama Mazatlan FC sehingga tahun 2022.

Ini membuatkan JDT mengalihkan tumpuannya untuk mendapatkan penyerang lain dan nama kedua yang muncul ialah Jonathan Herrera. Pemain kelahiran Sepanyol ini telah diumumkan oleh JDT secara rasmi pada awal februari lalu.

Bagaimanapun, jodoh penyerang ini juga tidak panjang bersama skuad Harimau Selatan apabila pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mendedahkan kelab berpangkalan di Argentina, Independiente mahu mendapatkan pemain tersebut secara pinjaman dengan tawaran lumayan yang tidak dapat ditolak.

Sekali lagi JDT terpaksa menjenguk ke pasaran pemain dan kali ini mereka pulang dengan membawakan khidmat Bergson. Pada awalnya, segelintir peminat sangsi akan kemampuannya untuk mengetuai jentera serangan JDT.

Namun unit ‘scouting’ JDT telah membuat kerja rumah (homework) yang sangat bagus dalam memadankan kualiti dan kebolehan pemain dengan kesesuaian sistem permainan JDT yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Benjamin Mora.

Dan perkara ini telah terbukti dan dapat disaksikan sendiri oleh semua apabila Bergson bukan sahaja dilihat sangat mudah menyesuaikan diri bersama JDT malahan turun memberikan impak yang segera kepada skuad Harimau Selatan.

Pujian juga harus diberikan kepada JDT yang mempunyai Pelan B dan Pelan C setelah perancangan asal iaitu Pelan A tidak dapat diteruskan. Ini juga bukti mereka merupakan sebuah kelab yang mempunyai pengurusan dan perancangan yang sangat bagus dan harus dicontohi oleh kelab lain di tanah air.

Untuk makluman, Bergson juga muncul pemain JDT pertama yang menjaringkan empat gol dalam empat penampilan pertama dalam saingan Liga Super sejak tahun 2013.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau juga merupakan salah seorang calon pilihan untuk merangkul penjaring gol terbanyak liga untuk musim ini.

Sudah tentu catatan empat gol tersebut tidak akan terhenti di situ sahaja. Pastinya dia akan terus memberikan ancaman kepada mana-mana barisan pertahanan dan penjaga gawang yang akan dihadapinya.

Untuk perlawanan seterusnya, Bergson dan rakan-rakan akan menghadapi skuad berpangkalan di Borneo iaitu Sabah FC di Stadium Likas dengan sepak mula dijadualkan pada hari esok.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen