Pusat Pakaian Hari-Hari Taja Liga Malaysia Sebanyak RM500,000
April 6, 2021 Hafizuddin Omar

Syarikat peruncit fesyen terkenal tanah air, Pusat Pakaian Hari-Hari diumumkan sebagai penaja bersama bagi saingan bola sepak tempatan, Liga Malaysia 2021. 

Perkara tersebut diumumkan dalam satu majlis menandatangani kontrak yang berlangsung pada hari ini di Wisma FAM, Kelana Jaya. 

Majlis menandatangani kontrak penajaan yang bertempoh setahun tersebut dijayakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan bersama Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim.

Ia turut disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Ayub serta Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari, Amilludin Latip dan Ketua Penjenamaan Pusat Pakaian Hari-Hari, Kviin Ng.

“Perjanjian yang kita buat ini dalam musim 2021 sebagai co-sponsor melibatkan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup.” 

“Untuk makluman, Pusat Pakaian Hari-Hati telah menaja dalam bentuk (wang) tunai sebanyak RM500,000.00,” kata Ab Ghani kepada para wartawan yang hadir.

Sementara itu, Syed Mohamed Sani berkata sebelum daripada ini Pusat Pakaian Hari-Hari telah menaja program-program sukan dalam negara terutamanya di peringkat akar umbi. 

Namun buat julung kalinya, Pusat Pakaian Hari-Hari mencipta sejarah tersendiri apabila muncul untuk menaja saingan bola sepak negara yang dikelolakan oleh MFL. 

Pada masa yang sama, Syed Mohamed Sani turut melontarkan cadangan untuk menggunakan kelebihan rangkaian runcitnya di seluruh pelusuk tanah air untuk mengedarkan barangan cenderamata MFL. 

“Pusat Pakaian Hari-Hari mempunyai 86 cawangan (seluruh Malaysia) sekarang dan boleh dianggap sebagai distribution point untuk mengedarkan merchandise MFL pada masa akan datang.” kongsinya.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen