Pasukan pelawat, Kedah Darul Aman FC melakukan kejutan ke atas pasukan tuan rumah, Selangor FC apabila bangkit daripada ketinggalan 1-0 pada babak pertama kepada mencatatkan kemenangan 1-2 pada aksi ketujuh Liga Super 2021.
Ia sesuatu diluar jangkaan kerana Selangor bukan sahaja berjaya mendapatkan gol pendahuluan seawal minit ke-33 sambil disaksikan oleh penyokong sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malahan turut mendominasi hampir 60 minit permainan.
Bagaimanapun, beberapa pertukaran yang dilakukan oleh Kedah pada babak kedua telah berjaya memberikan Kedah tonik kebangkitan sekaligus membolehkannya meraih kemenangan menerusi jaringan Kpah Sherman (78′) dan Tchetche Kipre (84′).
Ikuti ulasan daripada Sukanz mengenai perlawanan di antara Selangor dan Kedah Darul Aman, semalam:
#1 Karsten Buat ‘Home Work’ Sebelum Bertemu Kedah Darul Aman
Pertama sekali, pujian harus diberikan kepada taktikal yang diterapkan oleh Karsten Neitzel setelah melakukan ‘home work’ terhadap corak permainan Kedah termasuk mengenal pasti kelemahannya. Ini dapat melihat Karsten menerapkan formasi khusus untuk menghadapi Kedah Darul Aman di atas padang iaitu 4-1-2-1-2 dengan bentuk ‘diamond’ di bahagian midfield atau tengah.
Selain itu, Karsten turut menyedari Kedah seringkali melakukan serangan di melalui bahagian kanannya menerusi Rabih Ataya dan Rizal Ghazali. Untuk mengekang serangan tersebut, Karsten meletakkan pertahanan import muda, Jordan Ayimbila di posisi bek kiri kerana mempunyai kemahiran individu dari segi bertahan yang baik disamping memiliki kelebihan fizikal.
Dalam perlawanan tersebut, Jordan berjaya melakukan ‘marking’ yang sangat baik ke atas Rabih sehinggakan pemain skuad kebangsaan Lubnan itu tidak mampu menembusi bahagian kiri Selangor terutamanya pada separuh masa pertama. Disebabkan hal ini, dapat dilihat Kedah buntu untuk merencana serangan kerana perancanganya telah ‘diikat kemas’ oleh Ayimbila.
Selain daripada melakukan kerja-kerja defensif dengan sangat baik, pujian harus diberikan kepada ‘overlapping’ yang dilakukan Ayimbila untuk membantu Selangor melakukan serangan. Cuma sedikit kekurangan Ayimbila adalah kualiti bola hantaran lintangnya (crossing) yang kadangkalanya terlalu awal atau bola hantarannya terlalu kuat. Suka diingatkan bahawa Ayimbila ini merupakan pertahanan tengah dan bukannya ‘pure’ pertahanan kiri.
Keduanya, sejak minit pertama, Karsten mengarahkan Selangor bermain secara ‘high pressing’ ke atas Kedah. Perkara ini dapat dilihat setiap kali pemain Kedah memegang bola, dengan segeranya pemain Selangor akan melakukan ‘pressing’ untuk mencuri, merampas dan memenangi bola.
Selain itu, ia dipakejkan sekali dengan ‘build up play’ yang sangat baik menerusi gandingan Aliff Haiqal, Oliver Buff, Brendan Gan dan Danial Asri. Pemain-pemain ini turut mempersembahkan hantaran pendek yang berkualiti, kawalan bola yang baik, sentuhan yang kemas dan kurang melakukan kesilapan-kesilapan mudah terutamanya pada separuh masa pertama.
#2 Apa Terjadi Kepada Selangor Pada Babak Kedua?
Pertamanya, separuh masa kedua menyaksikan para pemain Selangor mulai penat dan kehilangan momentum. Seperti dinyatakan sebelum ini, Selangor bermain secara ‘high pressing’ sejak wisel ditiupkan pada babak pertama dan corak permainan ini menggunakan tenaga yang banyak.
Barangkali perlawanan yang berselang hanya 3 hari menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kepenatan dan keletihan pemain-pemain ini sekaligus menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan momentum, kecergasan menurun dan kurang berdisiplin sehingga tamat perlawanan.
Keduanya, kesilapan pertahanan tengah, Tim Heubach yang menjatuhkan Kpah Sherman di dalam kotak memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti. Dapat dilihat pemain-pemain Selangor mula kelihatan ‘down’ apabila Kedah dapat menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti tersebut yang disempurnakan dengan baik oleh Kpah Sherman sendiri.
Ketiganya, Karsten dilihat tidak mempunyai jawapan balas terhadap pertukaran pemain yang dilakukan oleh Aidil Sharin Sahak yang memasukkan Azammuddin Akil, Fadzrul Danel dan Mohammad Fayyadh pada separuh masa kedua. Seperti dinyatakan pada awal artikel ini, Karsten telah melakukan ‘home work’ dan telah menyediakan pelan untuk bertemu Kedah.
Namun berdasarkan perlawanan semalam, Karsten seolah-olah melakukan ‘home work’ terhadap kesebelasan utama atau skuad utama Kedah sahaja dan tiada ‘backup plan’ sekiranya Aidil melakukan pertukaran taktikal dan sebagainya. Boleh dikatakan Karsten turut terkejut dengan pertukaran pemain dan taktikal yang dilakukan ini.
#3 Mengapa Kedah Darul Aman Longlai Pada Babak Pertama?
Pertamanya, seperti dinyatakan di atas, Rabih telah di ‘marking’ oleh Ayimbila dan juga Safuwan Baharudin menyebabkan Kedah hilang punca ‘kreativiti’ untuk merancang serangan.
Keduanya, Kedah turun dengan formasi 4-1-4-1 di atas kertas namun apabila di atas padang, Kedah lebih dilihat bermain dengan formasi 4-4-2. Gandingan dua pemain tengah yang diturunkan ialah Baddrol Bakhtiar dan Anumanthan. Kedua-dua pemain ini tidak begitu memberangsangkan kerana Anumanthan lebih bersifat defensif dan terlalu ke bawah.
Sementara itu, hanya Baddrol sahaja berseorangan untuk mengawal bahagian tengah. Ini juga menyebabkan bahagian tengah Kedah nampak kosong dan sukar untuk melakukan ‘build up play’.
Ini memaksa Kedah bermain secara dengan melakukan hantaran terus (direct play) ke hadapan mencari penyerang samada Kpah Sherman dan Tchetche Kipre seterusnya mengharapkan kelebihan individu kedua-dua pemain ini untuk mencari gol. Selain itu, Kedah juga bermain secara terlalu ‘wide’ dengan cuba menyerang daripada sebelah tepi.
#4 Kemasukan Alex, Fadzrul dan Fayyadh Menjadi ‘Game Changer’ Kedah
Pada separuh masa kedua, seperti kita saksikan, Aidil melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Fandi Othman (52’), Fadzrul Danel, Mohammad Fayyadh (62’), Azammuddin Akil (64’) dan Ariff Farhan (64’).
Paling mencuri tumpuan adalah kemasukan Azammuddin atau lebih dikenali sebagai Alex menggantikan Faizat Ghazali yang amat ‘senyap’ dalam perlawanan ini.
Kemasukan Alex sebagai seorang pemain yang berpengalaman ini juga memberi kejutan kepada Ayimbila yang sebelum ini cemerlang mengekang Rabih. Ayimbila mudah ‘dimakan’ oleh Alex dengan beberapa ‘thru pass’ sekaligus membolehkan Kedah menembusi barisan pertahanan Selangor menerusi bahagian tepi.
‘Work rate’ yang ditojolkan oleh Alex juga seharusnya dipuji apabila dia turut turun membantu Ariff Farhan di posisi bek kanan ketika diserang oleh Selangor. Sebagai bonus, jaringan kemenangan Kedah turut berpunca daripada ‘assist’ yang dilakukan oleh Alex.
Sementara itu, kemasukan Fadzrul dan Fayyadh pula telah membuktikan bahawa Kedah mampu bermain dengan secara hantaran pendek, ‘build up play’ secara berpasukan dari bawah tanpa melakukan hantaran jauh mencari ‘targetman’ semata-mata.
Di sini, terlihat satu sisi yang mana Kpah dan Kipre sangat memerlukan sokongan (support) daripada pemain-pemain midfield dan tidak mengharapkan kemampuan individu mereka semata-mata. Sokongan ini tidak diberikan oleh Kpah dan Kipre sepanjang 60 minit pertama.
Disebabkan faktor inilah yang membuka ruang buat Kedah untuk melakukan ‘comeback’ ke atas Selangor menerusi jaringan sepakan penalti pada minit ke-78 oleh Kpah Sherman dan jaringan kemenangan oleh Tchetche Kipre pada minit ke-84.
Akhir sekali, Kedah harus berterima kasih kepada penjaga golnya, Shahril Sa’ari yang cemerlang menafikan beberapa percubaan Selangor sekaligus tidak membenarkan skuad Red Giants menggandakan jaringan. Selayaknya diangkat sebagai Man of The Match.
Nota: Ulasan ini dikongsikan oleh peminat tegar bola sepak tempatan, Wafiy Amran. Anda boleh mendengar ulasannya untuk perlawanan yang lain di saluran Youtube-nya DI SINI.
Featured Image: Malaysian Football League