Artikel

Ulasan Sukanz: Persembahan Kenny Pallraj di Posisi Sayap Curi Tumpuan

Aksi ketujuh Liga Super di antara Perak FC dan UiTM FC di Stadium Perak, Ipoh semalam menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya bangkit daripada ketinggalan dan meraih kemenangan 3-2 ke atas pasukan pelawat.

Dalam perlawanan tersebut, UiTM FC yang dibimbing oleh Frank Bernhardt terlebih dahulu mendahului dua gol menerusi penyerang import dari Ghana, Nana Poku. Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Perak yang beraksi di hadapan penyokong sendiri bangkit mengatasi UiTM dengan dua jaringan oleh Careca dan satu gol penalti daripada Guiherme de Paula.

Ikuti ulasan daripada Sukanz mengenai perlawanan di antara Perak dan UiTM:

#1 UiTM Ambil Kesempatan Ke Atas Barisan Pertahanan Perak

Foto: MFL

Bercerita mengenai corak permainan UiTM, mereka bermain secara ‘direct football’ dan melancarkan serangan balas (counter attack) dengan menghantar bola terus kepada penyerang mereka iaitu Nana Poku yang berperanan sebagai targetman.

Dalam perlawanan tersebut, UiTM juga berjaya mengambil kesempatan ke atas barisan pertahanan Perak yang bermain di garisan yang sangat tinggi untuk meraih dua gol awal. Dapat dilihat ketika jaringan pertama UiTM, satu hantaran terus daripada pertahanan mencari penyerangnya, Nana Poku sebelum dia melakukan larian menuju ke dalam kotak penalti.

Situasi yang hampir sama berlaku ketika jaringan kedua UiTM, satu hantaran terus kepada Nana Poku dilakukan sebelum dia melakukan larian untuk melepasi barisan pertahanan Perak sambil menggunakan kelebihan individunya untuk menjaringkan gol.

Secara keseluruhannya, mereka kekal dengan corak permainan tersebut sepanjang waktu permainan walaupun selepas mereka dibolosi 3 gol.

Penjaga gol UiTM FC, Azfar Arif – Foto: MFL

Sementara itu, walaupun dibolosi sebanyak 3 kali, pujian harus diberikan kepada penjaga gol UiTM, Muhammad Azfar Arif yang banyak menafikan percubaan-percubaan Perak terutamanya daripada luar kotak penalti yang tepat ke sasaran. Pada perkiraan kami, sekiranya Azfar tidak menampilkan persembahan sebegitu, kemungkinan untuk UiTM dibolosi lebih daripada 3 gol adalah tinggi.

#2 Perak Bermain Dengan Formasi 4-1-2-3 & Kenny Pallraj Curi Tumpuan di Posisi Sayap

Sergio Aguero ketika menentang UiTM FC – Foto: MFL

Menentang UiTM, Perak turun dengan sedikit taktikal dan formasi yang sedikit berbeza. Pertama sekali, di atas kertas, skuad kendalian Chong Yee Fatt menggunakan formasi 4-1-4-1 tetapi di atas padang formasi yang terbentuk ialah 4-1-2-3.

Formasi itu menyaksikan Leandro berseorangan beroperasi sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder). Manakala dua pemain tengah di hadapannya ialah Sergio Aguero dan Careca.

Dalam perlawanan tersebut Aguero lebih berperanan sebagai pemain yang menghubungkan barisan pertahanan dengan barisan serangan Perak. Manakala Careca kekal di atas bermain sebagai pemain No.10.

Menariknya, dalam formasi ini, pemain tengah, Kenny Pallraj diletakkan di bahagian sayap kiri. Kadang-kala pemain berusia 27 tahun akan bertukar-tukar posisi bersama pemain sayap kanan, J. Partiban di dalam perlawanan. 

Kenny dilihat tiada sebarang masalah malahan amat selesa bermain di posisi tersebut. Dia boleh melakukan larian untuk menyerang daripada bahagian sayap, memberikan ancaman kepada barisan pertahanan UiTM, melakukan hantaran ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan.

Untuk seorang ‘pure’ pemain tengah atau tengah bertahan menampilkan aksi sebegitu di posisi tersebut adalah sesuatu yang sangat bagus dan harus diberikan pujian.

#3 Kedua-Dua Full-back Perak Banyak Membantu Ketika Menyerang

Aksi baik yang ditampilkan oleh Kenny dan J. Partiban juga hasil daripada sokongan (support) yang baik oleh kedua-dua full-back Perak, Nazirul Naim dan Danish Haziq. Kedua-dua pemain ini rajin melakukan naik ke atas serta melakukan overlapping

Ianya sangat membantu J. Partiban dan Kenny Palraj ketika melakukan serangan. Jaringan ketiga Perak menyaksikan Nazirul yang memulakan gerakan yang membolehkan Kenny mencipta ‘assist’ kepada gol Careca sekaligus memberikan kemenangan buat The Bos Gaurus.

#4 Perak Beruntung Mempunyai Pemain Yang Memiliki ‘Work Rate’ Tinggi

Antara perkara boleh disentuh dalam perlawanan ini adalah Perak sangat beruntung memiliki beberapa pemain yang mempunyai ‘work rate’ yang tinggi di dalam padang. 

Nama-nama yang boleh kita sebutkan di sini ialah Leandro dos Santos, Careca dan tidak dilupakan Sergio Aguero. Lihat kembali gol kedua Perak hasil daripada penalti yang disempurnakan oleh Guilherme de Paula. Penalti tersebut diraih oleh pemain tengah bertahan, Leandro yang melakukan larian ke dalam kotak penalti.

Sementara itu, Aguero pula menjadi pemain yang menghubungkan barisan pertahanan dan serangan. Apabila Perak diserang, Aguero akan dilihat turun untuk sama-sama melindungi barisan pertahanan bersama Leandro. Manakala ketika menyerang, Aguero akan naik ke atas untuk membantu Careca untuk merencana serangan.   

#5 Guilherme de Paula Beraksi Di Bawah Par

Selain daripada kealpaan barisan pertahanan Perak yang bermain terlalu tinggi dan menyebabkan bolos dua gol kepada UiTM, kelibat penyerang naturalisasi kebangsaan, de Paula boleh dikatakan sebagai mengecewakan.

Selain daripada menyempurnakan sepakan penalti, persembahannya di atas padang sepanjang perlawanan adalah di bawah par. Ada beberapa peluang terbuka gagal disudahkannya serta beberapa kali berada di kedudukan (positioning) yang silap.

p/s: Aksi seterusnya, Perak akan berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk bertemu Selangor bagi aksi kelapan Liga Super. Perlawanan dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam, hari sabtu ini.

Nota: Ulasan ini dikongsikan oleh peminat tegar bola sepak tempatan, Wafiy Amran. Anda boleh mendengar ulasan untuk perlawanan yang lain di saluran Youtube-nya DI SINI.

Featured Image: Malaysian Football League

komen