LaLiga Bukan Sekadar Real Madrid, Bercelona & El Clasico
April 10, 2021 Hafizuddin Omar

Baru-baru ini, LaLiga telah mengadakan satu acara media di Hartamas untuk mempersembahkan derbi-derbi yang penuh mengujakan dalam saingan LaLiga.

Ianya bertujuan untuk meraih perhatian peminat bola sepak tempatan menjelang aksi derbi yang dinantikan ramai di seluruh dunia, El Clasico yang menemukan Real Madrid dan Barcelona pada minggu ini.

Selain itu, acara ini turut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai setiap derbi yang dimainkan dalam saingan LaLiga musim ini seperti Valencia Derby, Basque Country Derby, Madrid Derby dan terakhir Seville Derby.

Untuk makluman, Valencia Derby merupakan pertemuan antara Valencia CF menentang Levante UD. Keduanya, Basque Country Derby merupakan pertemuan antara Athletic Bolbao dan Real Sociedad.

Sementara itu, Madrid Derby pula merupakan pertemuan antara dua buah kelab gergasi yang berpangkalan di ibu kota Sepanyol iaitu Real Madrid dan Athletico Madrid. Terakhir, Seville Derby pula merupakan pertembungan antara Sevilla FC dan Real Betis.

Semasa acara tersebut, wakil LaLiga, Giorgio Pompili Rossi berkata. “Membawa LaLiga dekat dengan peminat dan media di Malaysia ini menjadi keutamaan kami. Di LaLiga, kami mengeksport saingan liga dan keseluruhan negara kami bersama-sama budaya dan tradisi ke seluruh dunia.”

“Malaysia mempunyai diversiti di mana bola sepak dan makanan sangat relevan kepada negara. Menerusi acara ini, kami berharap dapat memberikan tetamu kami pengalaman yang serupa.”

Turut menyerikan acara tersebut adalah bekas pemain Real Zaragoza dan pemain Selangor, Oliver Buff serta Duta Sepanyol ke Malaysia, Jose Miguel Cornivos Lafuente.

Tetamu turut berpeluang menyaksikan persembahan daripada Pengarah Seni Persembahan University of Nottingham Malaysia, Dr Sergio Camacho bersama-sama band campuran Sepanyol-Malaysia, “Chino-Latino”.

Dan tidak dilupakan, untuk menambahkan lagi adunan budaya makanan dan sukan secara bersama-sama, tetamu turut dijamu dengan makanan Sepanyol, Valencian Paella yang dimasak oleh Chef Marta.

LaLiga bukan sekadar Real Madrid, Barcelona dan El Clasico, ia adalah mengenai semangat, budaya dan warisan. LaLiga akan terus membina jenamanya di Malaysia menerusi acara seumpama ini.

Komen