Artikel

SSI Menjadi Tuan Rumah Spartan Stadion Yang Pertama di Malaysia

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berbangga dan berbesar hati kerana Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang serba canggih akan menjadi tuan rumah Spartan Stadion yang pertama di Malaysia pada 3 & 4 September 2021.

Dilancarkan pada Februari 2020, ‘Home of the Southern Tigers’ yang ikonik ini telah membuktikan daya tarikannya dengan anugerah ‘Stadium of the Year’ oleh StadiumDB.com yang terus meningkatkan jenama JDT di peringkat antarabangsa.

Kini, gelanggang  pasukan JDT tersenarai antara beberapa stadium terpilih di seluruh dunia yang menjadi tuan rumah acara Spartan Stadion yang terkenal di peringkat antarabangsa pada suku ketiga tahun 2021.

Ini benar-benar menunjukkan kemampuan JDT untuk menarik minat dan kolaborasi dengan jenama antarabangsa. Antara jenama antarabangsa lain yang turut bekerjasama dengan JDT termasuk UNICEF, NIKE, HUBLOT, SWAG Electric Vehicle dan Subway.

Kerjasama dengan jenama antarabangsa memperluaskan lagi nilai dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global, dan ini menjana pendapatan diperolehi melalui penajaan kerana semakin besar jenama JDT, semakin besar pulangan pelaburan bagi penaja.

Jangkauan luar biasa JDT melalui media sosial — antara yang terbaik di Asia Tenggara — juga memberikan lebih banyak perhatian kepada jenama antarabangsa.

Harimau Selatan memberi contoh yang baik kepada kelab-kelab lain di rantau ini mengenai bagaimana pengurusan yang progresif dengan visi yang jelas dapat membantu memperkembangkan jenama di peringkat antarabangsa. 

Menariknya, JDT baru berusia lapan tahun.

Berkaitan Spartan Stadion, ia akan menarik perhatian peminat dari dalam dan luar negara. Walaupun penyertaan antarabangsa akan bergantung pada situasi Covid-19, namun ia tetap akan memberikan JDT lebih banyak pendedahan bertaraf antarabangsa dan akan mengukuhkan lagi lokasi SSI di peta dunia.

Ditubuhkan pada tahun 2007 di Amerika Syarikat, Spartan Race telah berkembang ke lebih dari 30 buah negara dengan pelbagai jenis acara. Spartan Stadion adalah perlumbaan sejauh 5 km dengan 20 rintangan yang diadakan di stadium sukan pro yang terkenal di seluruh dunia.

Daftar untuk Stadium Sultan Ibrahim STADION di sini: https://www.spartanrace.my/en/race/detail/7448/overview

komen