Artikel

Hadiah Terkumpul Sebanyak RM50,000 Menanti Pemenang Kejohanan eMFL Liga Super

Hadiah lumayan berjumlah RM50,000 secara keseluruhan menanti pemenang kejohanan sukan elektronik (esports) bola sepak, eMFL Liga Super yang akan bermula pada 20 April hingga 9 Mei 2021.

Ini merupakan kali kedua Malaysian Football League (MFL) menganjurkan kejohanan esports dengan dipersetujui oleh penerbit siri permainan FIFA, Electronic Arts (EA) serta menjadi satu-satunya rakan kongsi liga rasmi bersama EA Sports di asia tenggara.

Foto: MFL

Kejohanan tahun ini menyaksikan Unifi masih tampil sebagai penaja utama kejohanan namun turut disokong oleh Nivea Men selaku penaja produk penjagaan lelaki rasmi, LG Ultragear selaku penaja monitor skrin dan Blackbox Studio selaku penaja jersi kejohanan.

Sementara itu, MFL turut melantik penganjur kejohanan esports, Gamesbond sebagai rakan eksklusif dalam sama-sama mengurus dan mempromosikan kejohanan unifi eMFL Liga Super.

Untuk makluman, saingan eMFL Liga Super akan disertai oleh 12 pemain Malaysia. Kesemua mereka dipilih berdasarkan yang menduduki tangga teratas dalam Global Series Ranking.

Selain itu, Unifi eMFL Liga Super kali ini memperkenalkan format yang lebih kompetitif iaitu Liga eMFL dan Grand Final di mana hanya lapan pemain teratas Liga eMFL sahaja yang layak untuk bertanding dalam pusingan Grand Final.

Juara unifi eMFL Liga Super akan melayakkan diri ke East Asia Regional Cup yang dianjurkan oleh EA dan bakal beraksi di peringkat antarabangsa.

Kejohanan unifi eMFL Liga Super akan disiarkan secara langsung menerusi platform laman sosial Facebook milik MFL, eMFL dan Gamesbond bermula 20 April 2021.

Featured Image: MFL

komen