Pemain kelahiran Amerika Syarikat berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal yang bakal bermain bersama pasukan baharu, Rio Grande Valley tersenarai antara lima pemain tengah bertahan (defensive midfielder) yang perlu diberi perhatian dalam saingan Kejuaraan USL.
Penghujung tahun lalu, pemain berusia 22 tahun ini diumumkan dilepaskan oleh Sporting Kansas City dan ianya memaksa Kuzain mencari kelab baharu bagi meneruskan karier bola sepaknya.
Bagaimanapun, Kuzain yang pernah menyertai sesi latihan skuad Harimau Muda (B-22) kendalian Datuk Ong Kim Swee pada tahun 2019 berjaya menarik minat pasukan berpangkalan di Texas untuk mengikat khidmatnya bagi mengharungi saingan musim ini.
Laman rasmi Kejuaraan USL melihat kedatangan Wan Kuzain yang memiliki kawalan bola yang baik ke pasukan yang digelar sebagai The Toros mampu menarik perhatian peminat-peminat tempatan kelab tersebut.
Malahan Kuzain yang tidak asing lagi dengan saingan Kejuaraan USL ketika bersama Sporting Kansas City II beberapa tahun yang lalu turut memiliki kelebihan dalam situasi set pieces sekaligus bakal menjadi aset buat Rio Grande Valley.
Sementara itu, empat lagi pemain tengah bertahan yang disenaraikan oleh laman rasmi tersebut ialah Fatal Alashe, 27 tahun (Sacramento Republic), Jack Blake, 26 tahun (San Diego Loyal SC), Jordan Doherty, 20 tahun (Tampa Bay Rowdies) dan Lebo Moloto, 30 tahun (FC Tulsa).
Untuk makluman, saingan baharu Kejuaraan USL akan bermula pada penghujung bulan ini.
Featured Image: Rio Grande Valley FC