Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini ingin mengumumkan pelancaran Red Giants Care, sebuah inisiatif yang tertumpu kepada perancangan dan pelaksanaan program-program kebajikan dan komuniti (Corporate Social Responsibility, CSR) di Selangor.
Inisiatif ini amat penting bagi mewujudkan sebuah organisasi yang bukan sahaja cakna dalam pembangunan bola sepak negeri, malah turut menitikberatkan tanggungjawab sosial kepada rakyat Selangor, khususnya golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dan yang paling memerlukan.
Sebelum ini SFC telah menjayakan beberapa program CSR seperti tabung sumbangan kebajikan bekas pemain, ‘Rice Bucket Challenge’ sempena World Food Day bersama The Lost Food Project dan jualan amal COVID-19 untuk membantu penyokong Selangor yang terkesan akibat pendemik berkenaan, namun dengan wujudnya Red Giants Care, usaha-usaha kebajikan tersebut kini mampu diperluaskan dan dibawa ke tahap yang lebih tinggi.
Antara program-program yang bakal diperkenalkan di bawah inisiatif Red Giants Care adalah seperti sesi latihan bola sepak akar umbi percuma untuk warga Selangor, sesi pemerkasaan komuniti bola sepak setempat, aktiviti pengurusan dan penjagaan alam sekitar, pendidikan percuma mengenai ilmu bola sepak, program bola sepak warga istimewa serta program-program kemasyarakatan yang lain.
Presiden Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menyatakan kegembiraan baginda dengan kewujudan Red Giants Care dan membayangkan entiti ini bakal mendekatkan lagi SFC dengan penyokong-penyokongnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr.Johan Kamal Hamidon, Red Giants Care adalah lambang komitmen Selangor FC dalam memberi semula sesuatu kepada rakyat Selangor khususnya warga bola sepak Selangor.
“Antara visi dan misi utama Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj apabila menubuhkan Selangor FC adalah untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan penyokong-penyokongnya serta memahami kesusahan yang dilalui mereka, terutamanya golongan masyarakat yang kurang bernasib baik di negeri ini”.
“Dengan pelancaran Red Giants Care, kini usaha-usaha murni tersebut boleh diberi penekanan dan diuruskan dengan lebih baik dan cekap. Red Giants Care adalah simbolik kepada usaha kelab bola sepak ini untuk memberi semula sesuatu kepada komuniti bola sepak Selangor, jelas Dr. Johan.
Untuk program sulungnya, Red Giants Care akan melancarkan Program Infaq Tilapia Ramadan, sebuah program pengumpulan dana bagi membantu golongan yang memerlukan sempena bulan Ramadan pada tahun ini.
Program ini bakal menyaksikan Red Giants Care mengambil inisiatif untuk melancarkan tabung derma untuk menyediakan juadah berbuka dalam bentuk sumbangan ikan tilapia segar kepada beberapa pusat tahfiz dan rumah anak-anak yatim terpilih di negeri Selangor.
Ikan tilapia adalah sumber protein yang baik untuk diet seimbang, namun kerana harganya yang tinggi di pasaran membuatkan ia sukar untuk dinikmati oleh golongan yang tidak berkemampuan dan kurang bernasib baik. Melalui usaha ini, golongan sasar yang tinggal di rumah anak-anak yatim dan pusat tahfiz diberi peluang untuk berbuka puasa dengan hidangan ikan tilapia.
Bagi para penyokong yang berminat untuk melakukan infaq dan sedekah pada bulan yang mulia ini, anda boleh menyalurkan derma anda di pautan ini: PROGRAM INFAQ TILAPIA RAMADAN