Ulasan Sukanz: Barisan Pertahanan Terengganu Berdisiplin, Penyudah JDT Menghampakan 
April 25, 2021 Hafizuddin Omar

Pertembungan yang penuh epik!

Terengganu FC berhasil meraih kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi kesepuluh saingan Liga Super 2021.

Kemenangan skuad berpangkalan di pantai timur itu disumbangkan oleh jaringan tunggal pemain muda yang semakin meningkat naik, Hakimi Abdullah pada minit ke-57 sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah pasukan tuan rumah pada musim ini.

Berikut adalah ulasan perlawanan bagi perlawanan ini:

#1 Muhammad Ketuai Barisan Pertahanan Kekal Berdisiplin

Perkara yang paling bagus ditampilkan oleh Terengganu dalam perlawanan semalam adalah disiplin barisan pertahanannya. Apa yang boleh kita katakan, barisan pertahanan Terengganu kekal berdisiplin serta mempunyai kekuatan mental yang kuat sehingga tamat perlawanan.

Tatkala JDT melancarkan serangan bertali arus terutamanya sekitar 20 minit terakhir permainan, barisan pertahanannya kekal menumpukan perhatian di atas padang serta tidak melakukan kesilapan (mistake) mudah yang membuka ruang kepada JDT menjaringkan gol atau mendapatkan penalti.

Semua hantaran ke dalam kotak penalti samada menerusi permainan terbuka (open play) dan bola mati (set pieces) juga dapat dikeluarkan daripada kawasan bahaya sepanjang perlawanan. Mereka juga tidak terkesan daripada segi mentalnya apabila beberapa keputusan pengadil perlawanan melibatkan ‘foul’ tidak menyebelahi mereka.

Gandingan pertahanan tengah yang diketuai oleh Muhammad Mohd Fauzi bersama Carli de Murga (babak pertama) dan Shahrul Nizam (babak kedua) sangat baik. Barisan pertahanan Terengganu juga mempunyai komunikasi yang baik dengan penjaga golnya, Suhaimi Hussin. Maka tidak hairanlah dia diangkat sebagai Man of the Match dalam perlawanan ini oleh kelabnya.

#2 Azam Azmi & Arif Fadzilah Buatkan Sayap JDT Buntu 

Masih lagi di bahagian pertahanan Terengganu namun kita beralih pula kepada kedua-dua full back mereka iaitu Azam Azmi Murad (bek kanan) dan Arif Fadzilah (bek kiri).

Seperti biasa, sejak akhir-akhir ini JDT gemar melancarkan serangan menerusi pemain muda lincahnya, Arif Aiman. Perkara yang sama cuba dilakukan oleh JDT pada perlawanan semalam. Bagaimanapun, pada separuh masa pertama, cubaan oleh Arif Aiman untuk menyerang menerusi bahagian kanan sukar sama sekali. Hal ini kerana dia tidak dapat melepasi Arif Fadzilah.

Separuh masa kedua pula, Arif Aiman diarahkan untuk menyerang menerusi bahagian kiri dan cuba untuk ‘makan’ Azam Azmi. Bagaimanapun, perkara itu tidaklah mudah untuk dilakukan apabila Azam turut menampilkan persembahan yang sangat cemerlang terutamanya dalam aspek bertahan. 

Selain daripada memastikan Arif Aiman tidak dapat ‘memakannya’ dalam perlawanan tersebut, Azam turut mengekang Corbin-Ong, Cabrera, Bergson dan Ramadhan Saifullah. Pendek kata, kedua-dua full-back Terengganu berjaya membuatkan kedua-dua sayap dan full-back JDT tidak hidup dalam perlawanan semalam.

#3 Hakimi & Faisal Duri Dalam Daging JDT 

Musim ini, ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain gemar mempertaruhkan duo pemain sayap muda iaitu Hakimi Abdullah (kiri) dan Faisal Halim (kanan) untuk melancarkan serangan dan memburu gol.

Perkara yang sama dipertaruhkan oleh Nafuzi pada malam tadi dan kedua-duanya boleh dikatakan berjaya melaksanakannya dengan baik apabila Terengganu melancarkan serangan balas. 

Kedua-dua pemain ini menunjukkan work rate yang tinggi di atas padang dan semakin serasi dengan percaturan dan corak permainan yang dimahukan oleh Nafuzi. Sayangnya aksi penyudah dan keserasian kedua-dua pemain ini bersama penyerang tengah, David da Silva perlu dipertingkatkan lagi.

#4 Terengganu Berani Bermain Secara ‘Open’ 

Bagi kebanyakan pasukan yang berhadapan dengan JDT, kebanyakannya akan bermain secara ‘berkampung’ berdekatan kotak penalti sendiri dan melakukan hantaran jauh mencari penyerang untuk melancarkan serangan balas apabila mendapat bola.

Namun tidak buat Terengganu, pada awal-awal permainan, mereka cuba untuk bermain secara terbuka dan mengekalkan penguasaan bola. Boleh dilihat pada awal-awal permainan, ianya agak seimbang buat kedua-dua pasukan. 

Pujian harus diberikan kepada trio pemain tengah Terengganu, Dechi Marcel, Nik Akif dan Makan Konate yang rajin melakukan pressing apabila JDT memegang bola. Kehadiran mereka ini jugalah yang menyebabkan JDT tidak dapat menembusi benteng pertahanan Terengganu menerusi bahagian tengah dan terpaksa menolak bola ke bahagian sayap untuk melakukan hantaran lintang (crossing).

Namun apabila JDT meningkatkan intensiti pada 20 minit terakhir perlawanan, mereka membuat keputusan untuk bertahan di kawasan sendiri dan mempertahankan kelebihan satu gol yang dimiliki sehingga tamat perlawanan. Secara keseluruhan, corak permainan Terengganu agak seimbang daripada segi aspek menyerang dan bertahan.

#5 Midfield JDT Hilang Kreativiti

Beralih kepada pasukan tuan rumah, JDT. Seperti kita katakan tadi, trio midfield Terengganu sangat rajin melakukan pressing apabila JDT memegang bola. Ini membuatkan JDT terpaksa menolak bola kepada pemain sayap mereka untuk melancarkan serangan. Pemain sayap mereka pula terpaksa mengharapkan ‘crossing’ semata-mata untuk mencari Bergson di dalam kotak penalti.

Paling terserlah, dalam perlawanan ini, pemain kreatif, Leandro Velazquez terpaksa turun ke bawah untuk mendapatkan bola. Namun apabila mendapat bola, tidak banyak yang dapat dilakukannya untuk ‘penetrate’ barisan pertahanan Terengganu. Boleh dikatakan magisnya hilang dalam perlawanan semalam. Secara keseluruhannya, boleh kita katakan trio midfield Terengganu memenangi pertembungan di bahagian tengah dalam perlawanan ini.

#6 Terlalu Mengharapkan Arif Aiman, Bergson Serba Tidak Menjadi

Dalam perlawanan ini, kelincahan Arif Aiman sekali lagi menjadi taruhan Benjamin Mora di bahagian sayap kanan dan Gonzalo Cabrera di sayap kiri. Bagaimanapun, telah dinyatakan di atas, bek kiri Terengganu, Arif Fadzilah berhasil mengekang Arif Aiman menembusi bahagiannya sekaligus membuatkan Arif Aiman buntu.

Sementara itu, Gonzalo Cabrera tidak menunjukkan persembahan terbaiknya. Boleh dikatakan dia ‘off form’ pada perlawanan semalam.

Berbalik kepada Arif Aiman, apabila kelincahan pemain muda ini tidak dapat digunakan untuk melepasi Arif Fadzilah, ia memaksa JDT untuk melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti untuk mencari penyerangnya, Bergson. Bagaimanapun, serba serbi tidak menjadi buat penyerang Brazil yang yang telah mengumpul 9 gol pada perlawanan malam tadi.

#9 JDT Tidak Ambil Peluang Deretan Sepakan Penjuru & Sepakan Percuma

Satu kerugian buat JDT apabila gagal menyempurnakan peluang-peluang yang dimiliki menerusi sepakan penjuru dan percuma yang telah diraih. Berdasarkan statistik, JDT mendapat 15 sepakan penjuru namun tiada satu yang dapat dijelmakan kepada gol.

Sebagai tambahan, JDT juga merekodkan 21 percubaan namun hanya tujuh sahaja yang tepat ke sasaran. Untuk perbandingan, Terengganu hanya mendapat dua sepakan penjuru dan merekodkan tujuh percubaan sahaja di mana empat daripada tepat ke sasaran dan menjaringkan satu gol.

p/s: Ulasan ini dikongsikan oleh peminat tegar bola sepak tempatan, Wafiy Amran. Sekiranya anda suka ulasannya, anda boleh mendengar ulasan untuk perlawanan Liga Super yang lain di saluran Youtube, WAFIY AMRAN.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen