Adakah Kesebelasan Utama Anak Jati Kelantan Ini Mampu Menjadi Pencabar Liga Super?
April 27, 2021 Hafizuddin Omar

Saingan tahun ini menyaksikan beberapa pemain bola sepak kelahiran negeri Kelantan Darul Naim mencuri tumpuan ramai peminat bersama pasukan masing-masing.

Paling mencuri tumpuan adalah pemain-pemain kelahiran Kelantan yang beraksi bersama pendatang baharu Liga Super 2021, Penang FC serta pasukan diangkat sebagai pencabar kejuaraan musim ini, Terengganu FC.

Berdasarkan kepada prestasi semasa, sekiranya dikumpulkan para pemain ini dan diletakkan dalam satu pasukan, mampukah mereka menjadi salah sebuah pasukan yang mencabar kejuaraan Liga Super 2021?

Berikut adalah kesebelasan utama bayangan yang terdiri daripada anak jati kelahiran Kelantan Darul Naim pilihan Sukanz dengan formasi 4-4-1-1: 

Penjaga Gol: Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United)

Mencipta nama dan bersinar bersama pasukan Kelantan suatu masa dahulu, Khairul Fahmi Che Mat atau dikenali sebagai Apek masih menjadi taruhan utama Melaka United kendalian Zainal Abidin Hassan. Umurnya sudah mencecah 32 tahun tetapi ketangkasannya masih antara yang terbaik.

Bek Kiri: Azwan Aripin (Penang FC)

Pemain pertahanan ini mengambil keputusan untuk meninggalkan TRW Kelantan FC pada penghujung tahun lalu dan menyertai Penang FC. Bersama skuad Harimau Kumbang pada musim ini, dia sering diturunkan bermain di posisi bek kiri.

Bek Tengah: Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC)

Sepertimana Azwan Aripin, musim lalu Shahrul Nizam menyarung jersi The Red Warrior tetapi dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke Terengganu FC. Baru sahaja menginjak usia 22 tahun, Shahrul Nizam telah menjadi antara watak penting di barisan pertahanan Terengganu terutamanya pada awal musim.

Bek Tengah: Abdul Latiff Suhaimi (Penang FC)

Ini merupakan tahun kedua Latiff Suhaimi beraksi bersama pasukan berpangkalan di Pulau Pinang. Walaupun pasukannya mengambil dua pertahanan tengah import pada musim ini, nama Latiff Suhaimi masih terselit di dalam kesebelasan utama apabila ada kecederaan melibatkan salah seorang pemain import tersebut.

Bek Kanan: Nik Shahrul Azim Ab Halim (Kuala Lumpur City)

Merupakan sebahagian daripada skuad Kelantan yang memenangi kejuaraan treble pada tahun 2012 lalu. Terkenal dengan panggilan Pok Nik, dia menjadi taruhan utama Bojan Hodak di posisi bek kanan dalam kesebelasan utama Kuala Lumpur City musim ini.

Pemain Tengah Kiri: Hakimi Abdullah (Terengganu FC)

Pemain yang tidak disangka-sangka ‘meletup’ pada saingan musim ini bersama Terengganu FC. Mulanya beraksi sebagai pemain gantian namun nama kian menjadi taruhan untuk bermula dalam kesebelasan utama dan telah mengumpul 3 gol setakat ini.

Pemain Tengah: Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (Melaka United)

Wan Zaharulnizam atau mesra dipanggil sebagai Kecik merupakan pemain Melaka United. Berkemampuan untuk menggelecek, dia menjadi ‘enjin’ skuad Hijau Putih pada musim ini.

Pemain Tengah: Faiz Nasir (Terengganu FC)

Laju dan lincah. Faiz Nasir pernah mendapat julukan ‘Messi’ dek kerana begitu liar di atas padang. Selain daripada mampu melorongkan bola yang cantik kepada penyerang, Faiz juga mampu melepaskan rembatan padu daripada luar kotak penalti menerusi kaki kirinya.

Pemain Tengah Kanan: Nik Akif Syahiran Nik Mat (Terengganu FC)

Nik Akif juga mengikuti jejak langkah Shahrul Nizam dan Hakimi Abdullah untuk berhijrah ke Terengganu pada musim ini. Posisi utamanya bermain di bahagian tengah namun Nik Akif juga seorang yang versatil dan mampu beraksi di bahagian kanan.

Penyerang Kedua/Pemain Tengah Menyerang: Danial Ashraf Abdullah (Penang FC)

Antara nama baharu yang mencuri tumpuan dalam skuad Penang FC musim ini. Juga merupakan bekas pemain TRW Kelantan FC yang angkat kaki pada penghujung tahun lalu, Danial telah beberapa kali membuat penampilan pada musim ini selain daripada menjaringkan dua gol.

Penyerang Tengah: Luqman Hakim Shamsudin (Luqman Hakim)

KV Kortrijk Anderlecht : Hakim Luqman fotoVDB / BART VANDENBROUCKE

Tidak perlu diperkenalkan lagi, penyerang muda berbakat kelahiran Kota Bharu yang beraksi dalam saingan Liga Belgium ini telah membuat penampilan bersama KV Kortrijk musim ini pada usia 19 tahun. Laju, mampu menggelecek dan mempunyai naluri yang tinggi untuk memburu gol. Baru-baru ini dia telah dipanggil untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.

Ketua Jurulatih: Nafuzi Zain (Terengganu FC)

Jurulatih muda yang semakin meningkat naik. Menjadi ketua jurulatih Terengganu FC sejak pertengahan 2019, Nafuzi menarik perhatian ramai apabila gemar menerapkan corak permainan moden berasaskan hantaran pendek dan penguasaan bola. 

Dan berikut adalah susunan pemain-pemain ini dalam formasi 4-4-1-1:

Adakah kesebelasan utama ini mampu mencabar kejuaraan Liga Super 2021? Atau anda mempunyai barisan kesebelasan utama anak jati Kelantan yang lain? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen media sosial Sukanz.

Featured Image: Terengganu FC & KV Kortrijk

Komen