Skuad kendalian Nafuzi Zain, Terengganu FC menerima satu lagi berita mendukacitakan apabila seorang lagi pemainnya, Christopher Herd ditimpa kecederaan dan terpaksa berehat sekitar dua bulan.
Perkara tersebut disahkan oleh pengurus pasukan, Zul Fadli Rozi selepas tertularnya foto Chris Herd yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan di laman sosial beberapa hari yang lalu.
Namun skuad berpangkalan di pantai timur itu dapat menarik nafas lega apabila kecederaan yang menimpa pemain Australia itu tidak melibatkan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sepertimana yang dihadapi Petrus Shitembi, Azalinullah Alias dan Rahadiazli Rahalim.

“Dia (Chris Herd) bukanlah mengalami ACL sebaliknya meniscus injury, kecederaan itu dijangka akan mengambil masa sekitar 6-7 minggu untuk pulih sepenuhnya bergantung kepada rehabilitasi dilakukan oleh pemain tersebut.” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz.
Sementara itu, dengan jendela perpindahan kedua bakal membuka tirainya pada 3 Mei hadapan, Zul Fadli tidak menolak kemungkinan Terengganu menjenguk ke pasaran untuk memancing khidmat pemain import baharu.
“Kita akan melihat terlebih dahulu keputusan tiga perlawanan terdekat ini (menentang Penang, UiTM dan Selangor),
“Kita sudah mempunyai perancangan samada ingin menukar pemain (import) atau tidak bergantung kepada keperluan,”
“Namun kita tidak mahu bersikap terburu-buru memandangkan saingan liga bakal berehat panjang (sekitar sebulan) dan Piala AFC turut ditunda ke penghujung bulan Jun,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama, Zul Fadli menegaskan pihaknya sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh semua pemain pada ketika ini sehingga berjaya menduduki tangga kedua liga dan hanya dipisahkan dua mata dengan pasukan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Untuk makluman, jendela perpindahan kedua Liga Malaysia akan ditutup pada 31 Mei.
Featured Image: Terengganu FC