Ulasan Sukanz: 2 Sepakan Sudut, 2 Gol Casagrande Berpunca Daripada Kanan Penang
May 3, 2021 Hafizuddin Omar

Skuad pantai timur, Terengganu yang segar dengan kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima kejutan daripada Penang dalam aksi ke-11 saingan Liga Super.

Siapa sangka Terengganu yang bermain di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menjadi pilihan ramai untuk memenangi perlawanan tersebut ‘disembelih’ oleh Penang dengan keputusan 4-1.

Apakah yang tidak kena dengan Terengganu dan bagaimanakah Penang berjaya melakukannya? Berikut adalah ulasan perlawanan tersebut:

#1 Dimanakah Silapnya Barisan Pertahanan Terengganu? Apa Kelemahannya?

Seperti dilihat ramai, barisan pertahanan Terengganu yang diketuai oleh Carli de Murga sangat ketara tewas daripada segi fizikal dan saiz badan. Disebabkan itu, barisan pertahanan Terengganu gagal menyaingi bola-bola tinggi di dalam kotak penalti sekaligus bolos empat gol dalam perlawanan tersebut.

Namun, kesilapan yang paling besar buat pertahanan Terengganu adalah gagal menjaga dengan ketat atau ‘marking’ penyerang Penang, Casagrande yang sudah diketahui ramai akan kebolehannya memanfaatkan bola di udara. Dua kali pemain kelahiran Brazil menjaringkan gol menerusi ‘free-header’ selain daripada tandukannya pada babak pertama menjadi asbab gol kedua Penang. 

Kesilapan kedua, bek kiri Terengganu gagal memberikan tekanan kepada memberikan tekanan kepada pemain di bahagian sisi kanan Penang terutamanya Quentin Cheng apabila mereka melancarkan serangan. Mereka tidak menutup ruang kosong bagi mengelakkan pemain Penang daripada melakukan ‘crossing’. Lebih malang, Quentin pula mampu menghasilkan hantaran lintang yang berkualiti untuk mencari ‘targetman’ di dalam kotak penalti.

Akhir sekali, komunikasi di barisan pertahanan dan penjaga gol Terengganu juga tidak begitu baik dalam perlawanan tersebut.

#2 Masalah Di Bahagian Midfield Terengganu

Selain daripada masalah di barisan pertahanan, Terengganu juga bermasalah di bahagian tengahnya. Pada babak pertama, bahagian midfield Terengganu tidak bermain dengan baik. Mereka hilang penyambung di antara pemain midfield dan bahagian serangan. Ini kerana Dechi Marcel turun lebih ke bawah dan Makan Konate pula lebih banyak berlegar-legar di posisi yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, menyedari kepincangan tersebut, ketua jurulatihnya melakukan perubahan permulaan babak kedua dengan memasukkan Faiz Nasir menggantikan Nik Akif. Kemasukan Faiz memberikan impak yang positif terutamanya pada 15 minit pertama separuh masa kedua. Terengganu berjaya menguasai permainan, melakukan serangan sehinggalah berjaya menjaringkan gol menerusi Hakimi Abdullah.

#3 Sisi Kanan ‘Ramuan’ Trucha Untuk Serang Terengganu

Kita beralih kepada ulasan mengenai Penang yang dibimbing oleh Tomas Trucha. Serangan-serangan Penang banyak terhasil menerusi bahagian sisi. Dan yang paling menyerlah serta dominan adalah bahagian kanan. 

Pemain yang beraksi di situ ialah Sheriddin Boboev – seorang pemain muda berusia 22 tahun dalam skuad kebangsaan Tajikistan. Menambahkan lagi bisa di bahagian tersebut adalah persembahan penuh bertenaga daripada pertahanan kanan, Quentin Cheng yang kerap naik ke atas membantu Sheriddin dengan melakukan ‘overlapping’.

Dua sepakan sudut yang menghasilkan gol buat Penang juga berpunca daripada serangan yang dilakukan oleh dua pemain ini daripada sebelah kanan. Dua gol oleh Casagrande pula hasil daripada ‘assist’ oleh Quenting Cheng dan Danial Ashraf juga di bahagian kanan. 

Di bahagian kiri, pertahanannya diisi oleh Azwan Aripin namun pemain ini lebih kepada corak defensif dan banyak bertahan di bawah. Di bahagian serangan kiri ialah Amer Azahar. Walaupun Azwan tidak seperti Quentin yang kerap naik ke atas, bahagian kiri Penang mendapat sokongan daripada Endrick dos Santos. Amer dan Endrick bermain dengan baik di posisi tersebut.

#4 Gandingan Rowley & Fadhil Idris Tarik Midfield Terengganu

Gandingan pemain tengah bertahan, David Rowley dan Fadhil Idris layak diberikan pujian dalam perlawanan ini. Kedua-dua mereka berjaya menarik pemain tengah Terengganu untuk datang kepada mereka semasa mereka memegang bola. Dan apabila pemain Terengganu menghampiri mereka, bola itu akan dihantar ke bahagian sisi kanan atau kiri untuk melakukan serangan.

Seperkara lagi, kualiti hantaran serta ‘crossing’ dilakukan oleh pemain Penang, sangat baik dan tepat. Walaupun bermain dengan corak ‘direct football’ dan kadangkala melakukan hantaran jauh, hantaran yang mereka lakukan seringkali sampai kepada penerimanya. Sebagai bonus, mereka bermain dengan baik sebagai sebuah pasukan.

#5 Bryan See Tampil Persembahan Cemerlang Di Hadapan Gawang

Antara yang menyumbang kepada kemenangan Penang tempoh hari adalah benteng pertahanannya. Manakan tidaknya, walaupun Terengganu dilihat tidak menampilkan prestasi yang sebenar seperti ketika menumpaskan JDT, Terengganu tetap merekodkan 14 percubaan dan 10 daripadanya adalah tepat ke sasaran. Selain itu, Terengganu juga memiliki 63% penguaaan bola.

Dan pemain yang selayaknya untuk diberikan pujian dalam mengekang Terengganu daripada menjaringkan lebih banyak gol adalah penjaga golnya, Bryan See. Dia banyak menafikan percubaan yang dilakukan oleh pihak lawan termasuk satu percubaan daripada Hakimi di dalam kotak penalti dan rembatan deras oleh Makan Konate tepat ke sasaran.

Ramai mungkin terlupa, Bryan See adalah penjaga simpanan Penang. Penjaga gol utamanya ialah Sam Sommerville. Ketika ini, Sam tidak dapat bermain kerana ditimpa kecederaan. Menarik untuk menyaksikan bagaimanakah perebutan penjaga gol Penang apabila Sam pulih kelak.

Akhir sekali, barisan pertahan Penang juga menampilkan persembahan yang kemas. Walaupun ketiadaan pertahanan kental Indonesia, Ryuji Utomo. Penggantinya Latiff Suhaimi mengisi kekosongan tersebut dengan baik. Gandingannya bersama Rafel Vitor juga cemerlang.

p/s: Ulasan ini dikongsikan oleh peminat tegar bola sepak tempatan, Wafiy Amran. Sekiranya anda sukakan ulasan ini, dijemput untuk menonton ulasan perlawanan Liga Super yang lain di saluran Youtube, WAFIY AMRAN.

Featured Image: Penang FC

Komen