Sukanz XI: 5 Pemain Penang Tersenarai Dalam Kesebelasan Terbaik ‘Matchday’ Ke-11 Liga Super
May 3, 2021 Hafizuddin Omar

Matchday ke-11 Liga Super menyaksikan beberapa pemain menampilkan persembahan yang cemerlang serta memberikan impak sekaligus membantu pasukan masing-masing meraih kemenangan.

Untuk kesebelasan terbaik pada minggu lalu, kami menyenaraikan 5 pemain Penang, 2 pemain Sri Pahang, 2 pemain Kedah Darul Aman, seorang pemain Sabah dan seorang Selangor.

Siapakah mereka? Ikuti senarai 11 pemain terbaik bagi aksi ke-11 Liga Super pilihan Sukanz di bawah: 

Penjaga Gol: Bryan See (Penang)

Berdasarkan statistik, Terengganu melakukan 14 percubaan dan 10 daripadanya tepat ke sasaran. Namun penjaga gol berusia 27 tahun ini begitu tangkas dan berdisiplin dalam mengawal gawangnya sekaligus hanya merekodkan satu bolos sahaja dalam perlawanan tersebut.

Pertahanan: Alto Linus (Sabah)

Beraksi sebagai pertahanan kiri bersama Sabah ketika menentang Perak, semalam. Alto cukup rajin membantu pasukan melakukan serangan. Bola hantarannya kepada Amri Yahyah berhasil memberikan Sabah gol penyamaan.

Pertahanan: Herold Goulon (Sri Pahang)

Memastikan ‘clean sheet’ buat pasukan Sri Pahang ketika menentang UiTM. Selain itu, Herold turut menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua memeriahkan ‘kenduri’ 5 gol Sri Pahang ke atas UiTM.

Pertahanan: Quentin Cheng (Penang) 

Pemain muda yang semakin meningkat naik pada ketika ini. Ketika menentang Terengganu, Quentin memainkan peranan penting dalam membantu Penang untuk menyerang. Turut mencatatkan 1 ‘assist’ dalam perlawanan tersebut serta menjadi punca kepada dua lagi gol Penang.

Pemain Tengah: Endrick dos Santos (Penang)

Pemain Brazil ini menjadi nadi serangan Penang ketika menentang Terengganu. Menguasai bahagian tengah dan turut membantu bahagian kiri Penang. Dalam perlawanan tersebut, Endrick mencatatkan 1 gol dan 1 ‘assist’.

Pemain Tengah: Tchetche Kipre (Kedah Darul Aman)

Minggu lalu dia bermain sebagai penyerang tunggal tetapi minggu ini dia kembali sebagai pemain No.10 buat skuad Hijau Kuning. Akan tetapi, prestasi minggu lalu tetap dijelmakan oleh Tchetche ketika menentang Melaka United jumaat lalu. Kehadirannya mengucar-ngacirkan pertahanan lawan. Dia sendiri telah melakukan 2 bantuan gol kepada rakan sepasukan.

Pemain Tengah: Lee Tuck (Sri Pahang)

Setelah sekian lama namanya menyepi ekoran persembahan yang tidak memberikan impak yang tinggi kepada pasukan, akhirnya Lee Tuck ‘mengamuk’ ketika menentang UiTM. Menjadi pemain penting dalam merencana serangan buat Sri Pahang serta turut mecipta 2 ‘assist’ dan menjaringkan 1 gol.

Pemain Tengah: Sheriddin Boboev (Penang)

Pemain kelahiran Tajikistan ini masih muda umurnya. Ketika menentang Terengganu tempoh hari, Sheriddin menampilkan aksi cemerlang sebagai pemain sisi kanan. Dalam perlawanan tersebut, Sheriddin menghasil 1 ‘assist’ dan mencetak 1 gol.

Penyerang: Ifedayo Olusegun (Selangor)

Ifedayo memastikan Selangor tidak pulang dengan tangan kosong ketika menentang PJ City, semalam. Dua gol pada penghujung minit perlawanan daripadanya telah membantu Red Giants untuk bangkit mencatatkan kemenangan 2-1 sekaligus meraih 3 mata berharga. Ifedayo kini memimpin senarai penjaring terbanyak dengan rekod 11 gol.

Penyerang: Casagrande (Penang)

Nama sebenarnya ialah Anselmo Arruda da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande. Merupakan seorang penyerang yang handal ketika di udara. Ketika menentang Terengganu, menggunakan kelebihan fizikalnya yang tinggi, Casagrande berjaya menjaringkan 2 gol menerusi tandukan dan menjadi punca kepada 1 gol Penang pada separuh masa pertama.

Penyerang: Kpah Sherman (Kedah)

Kpah kembali bersama pasukan setelah menjalani hukuman penggantung pada aksi ke-10 liga. Ketika menentang Melaka United, penyerang kelahiran Liberia ini telah menjaringkan dua gol sekaligus membantu Kedah menghambat JDT di puncak liga.

Berikut adalah formasi 3-4-3 kesebelasan terbaik minggu kesebelas Liga Super pilihan Sukanz:

Featured Image: Penang FC

Komen