Pernah Beraksi di Stadium Hang Tuah Antara 5 Perkara Menarik Mengenai PSPS Riau
May 4, 2021 Hafizuddin Omar

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman terus melebarkan sayapnya dalam industri bola sepak apabila diumumkan secara rasminya menjadi pemilik pasukan Liga 2 Indonesia, PSPS Riau.

Beliau yang merupakan pelabur dan ahli perniagaan diumumkan sebagai pemilik baharu skuad yang dikenali sebagai Askar Bertuah atau Lucky Warrior selepas menandatangani satu memorandum di Pekanbaru, Riau, semalam.

Dimaklumkan oleh pegawai media PSPS Riau menerusi satu laporan media negara dari seberang, difahamkan Norizam memegang majoriti saham kelab tersebut namun bukanlah memiliki 100% pegangan. Bagaimanapun, nilai pembambilalihan tidak didedahkan kepada media.

Sehubungan dengan pengambilalihan tersebut, Norizam turut diumumkan sebagai presiden PSPS Riau. Pada masa yang sama, nama julukan kelab yang berpangkalan di wilayah Riau itu bakal ditukar kepada nama yang hampir sama dengan The Red Warrior iaitu The Riau Warrior (TRW).

Selain itu, Norizam turut memaklumkan, pengambilalihan ini juga membuka ruang kerjasama antara Kelantan FC dan PSPS Riau memandangkan kedua-duanya dimiliki olehnya.

Berikut kami tampilkan 5 perkara menarik mengenai pasukan baharu yang dimiliki oleh Norizam Tukiman ini:

#1 Ditubuhkan Pada Tahun 1955 & Dikenali Sebagai PSPS Pekanbaru

Pasukan ini ditubuhkan pada tahun 1955 dan kini sudah menjengah usia 66 tahun. Sebelum ini, PSPS Riau dikenali sebagai PSPS Pekanbaru atau nama panjangnya Persatuan Sepakbola Pekanbaru dan Sekitarnya.

Pada ketika ini, PSPS Riau beraksi dalam saingan divisyen dua bola sepak Indonesia iaitu Liga 2. Pasukan ini berpangkalan di wilayah Riau atau lebih tepat lagi di bandar Pekanbaru. Mereka menjadikan sebuah stadium serbaguna yang berkapasiti 30,000 tempat duduk, Stadium Kaharudin Nasution sebagai ‘home’. 

#2 Pernah Menjadikan Stadium Hang Tuah Sebagai ‘Home’

Menariknya, semasa dikenali sebagai PSPS Pekanbaru, pasukan ini pernah menjadikan Stadium Hang Tuah sebagai ‘home’ mereka untuk beraksi dalam saingan bola sepak Indonesia.

Namun jangan tersalah sangka, ini bukanlah Stadium Hang Tuah yang terletak di Bandar Melaka seperti kita semua kenali. Stadium Hang Tuah ini terletak di Pekanbaru, Riau. Bagaimanapun, stadium ini telah dirobohkan sekitar tahun 2000 untuk memberikan ruang kepada pembesaran Masjid Agung An-Nur.

Selepas majlis menandatangani memorandum selama, Norizam turut melakukan kunjungan ke Stadium Utama Riau untuk melihat keadaan stadium tersebut. Diramalkan stadium tersebut bakal menjadi ‘home’ baharu buat PSPS Riau pada masa akan datang.

#3 Dikendalikan Oleh Jurulatih Kelahiran Malaysia, Coach Raja Isa

Siapa sangka, pasukan yang baru sahaja dibeli oleh Norizam ini pernah mendapat bimbingan daripada jurulatih kelahiran Malaysia iaitu Coach Raja Isa pada tahun 2019-2020.

Coach Raja mungkin tidak begitu terkenal dalam kalangan peminat tempatan memandangkan khidmat kejurulatihannya dalam saingan bola tanah air hanya bersama UiTM antara tahun 2015 dan 2016.

Namun Coach Raja merupakan satu nama yang tidak asing dalam kancah bola sepak di Indonesia. Beliau mula berkelana di negara jiran tetangga itu pada tahun 2007 dengan menjadi pembantu kepada Irfan Bakti di Persipura Jayapura.

Selepas daripada itu, Coach Raja telah berhijrah ke beberapa pasukan di Indonesia. Terkini, jurulatih berusia 55 tahun ini sedang membimbing sebuah pasukan yang berpangkalan di Bangladesh.

#4 Kelab Pertama Pemain Import Terengganu, Makan Konate di Indonesia

Semua peminat bola sepak tempatan pastinya kenal akan kelibat pemain import baharu Terengganu pada musim ini, Makan Konate. Pemain tengah menyerang itu telah mengumpul 4 ‘assist’ pada ketika ini.

Untuk makluman, ketika pemain kelahiran Mali ini mula sampai di Indonesia, PSPS Pekanbaru (nama lama) menjadi pasukan pertama buat Makan Konate di sana. Dia sempat beraksi selama dua musim di pasukan tersebut sebelum berpindah ke Barito Putera pada tahun 2013 dan Persib Bandung pada tahun 2014.

Tahun 2016, Makan Konate tiba buat pertama kali dalam saingan Liga Malaysia dengan menyertai T-Team.

#5 Ketua Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto Pernah Bermain Di Sini

Selain daripada mempunyai kaitan dengan Coach Raja dan Makan Konate, PSPS Riau ini juga mempunyai kaitan dengan ketua jurulatih Sabah pada saat ini, Kurniawan Dwi yulianto.

Kurniawan pernah beraksi bersama pasukan ini sekitar tahun 2001-2003. Dimaklumkan oleh rakan wartawan kami di Indonesia, pada awal 2000-an PSPS Pekanbaru (nama lama) sedang merancang untuk membina projek ‘Galacticos’ mereka yang tersendiri.

Projek ini khusus membina pasukan yang terdiri daripada pemain-pemain bintang sepertimana pasukan Real Madrid pada 2000-an. Namun di PSPS Pekanbaru, mereka mengumpulkan pemain-pemain daripada kalangan skuad kebangsaan Indonesia.

Akan tetapi, projek ini dikatakan gagal, dan Kurniawan pula meninggalkan pasukan dan menyertai Persebaya Surabaya pada tahun 2003.

Featured Image: PSPS Riau

Komen