Written by 9:23 am Bola Sepak, Malaysia

Kedah Dapatkan Rodney Menerusi ‘Pintu Hadapan’ Daripada Selangor

Naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC (Kedah) memperkukuhkan lagi benteng pertahanannya dengan mengumumkan mengikat khidmat pemain berdarah campuran Malaysia-Ghana, Rodney Celvin Akwensivie untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2022.

Menerusi makluman pelbagai platform media sosial milik pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air itu semalam, khidmat Rodney berhasil diikat setelah menebus kontrak pemain tersebut daripada kelab asalnya, Selangor FC.

Difahamkan, usaha menebus kontrak pemain berusia 25 tahun ini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah, Khamal Idris Ali dengan mengadakan rundingan bersama pihak Selangor sejak bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada sebarang makluman mengenai nilai penebusan kontrak Rodney didedahkan oleh kedua-dua pihak. Pada masa yang sama, Kedah turut berkongsikan mengikat Rodney dengan perancangan jangka masa panjang namun butiran mengenai tempoh tersebut tidak dinyatakan.

Untuk makluman semua, Rodney yang merupakan pemain kelahiran Serian, Sarawak ini telah beraksi bersama Kedah pada musim 2021 dengan status pemain pinjaman daripada Selangor. 

Bersama Kedah di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak, pemain yang lahir hasil daripada skuad Piala Belia Sarawak ini menampilkan prestasi yang cemerlang sebagai pertahanan tengah serta membentuk gandingan mantap bersama pertahanan import, Renan Alves.

Rodney berhasil merekodkan 14 penampilan bersama Kedah pada musim lalu sebelum mengalami kecederaan tulang bahu di penghujung saingan Liga Super sekaligus menyaksikan dia terlepas peluang untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2021.

Featured Image: Kedah Darul Aman

(Visited 6,966 times, 1 visits today)
Close