Written by 4:53 pm Bola Sepak, Malaysia

Sabah Dapat Tajaan Lotto RM2.4 Juta, Kedah Diberikan RM1.1 Juta Semusim

Pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo iaitu Sabah FC mendapat tajaan yang lumayan sebanyak RM2.4 juta untuk mengharungi Liga Malaysia 2022 daripada jenama pakaian sukan dari Itali, Lotto.

Perkembangan menarik buat skuad yang terkenal dengan julukan The Rhinos itu dimaklumkan sendiri oleh pihak Lotto Malaysia menerusi satu muat naik di media sosial mereka, pada hari ini.

“Cabaran bagi tahun 2022, Lotto Malaysia juga akan diterajui oleh Sabah Football Club dengan jumlah tajaan bernilai RM2.4 juta.

“Dengan kerjasama dua hala ni, Lotto Malaysia berharap dapat menaikkan semangat pasukan Sabah FC dan peminat negeri di bawah bayu untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang saingan musim baharu.” tulis kenyataan rasmi oleh Lotto.

Ini merupakan satu suntikan tambahan buat Sabah selepas mendapat bimbingan bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee yang melakukan revolusi besar-besaran.

Kedatangan Kim Swee membolehkan Sabah membawa masuk beberapa pemain tempatan ternama seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Irfan Fazail, Khairul Fahmi Che Mat dan beberapa yang lain lagi.

Sementara itu, Lotto Malaysia turut mengumumkan meneruskan penajaan ke atas sebuah lagi pasukan yang beraksi di pentas Liga Super iaitu Kedah Darul Aman FC. 

Pasukan yang bakal beraksi di pentas Piala AFC 2022 ini diberikan tajaan secara keseluruhan dengan nilai RM1.1 juta semusim dengan pilihan untuk melanjutkannya pada musim 2023. 

Nilai tajaan ini merangkumi wang tunai dan dalam bentuk barangan bagi kegunaan skuad Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan skuad bawah 17 tahun (B-17).

(Visited 16,445 times, 1 visits today)
Close