Artikel

Pengarah Teknikal Baharu, Scott O’Donell Saran Lantik Jurulatih ‘Import’ Kemudi Harimau Malaya

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan Scott O’Donell sebagai Pengarah Teknikal baharu buat badan induk bola sepak kebangsaan, pada hari ini.

Perlantikan individu kelahiran Australia berusia 55 tahun ini dibuat oleh FAM bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Ong Kim Swee setelah meletak jawatan pada September tahun lalu.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, Scott mencadangkan kepada pihak pengurusan FAM supaya melantik ketua jurulatih ‘import’ untuk mengemudi skuad senior kebangsaan.

Scott O’Donell

Scott mengusulkan cadangan itu susulan daripada perletakan jawatan oleh jurulatih kelahiran Kedah, Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, pada Isnin lalu, atas alasan gagal ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2020.

“Saya melihat bahawa skuad Harimau Malaya selepas ini perlu dibimbing oleh jurulatih asing bagi mengubah landskap dan masa depan bola sepak Malaysia ke satu dimensi baharu, bukan hanya untuk jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang,” jelasnya.

Tan Cheng Hoe

Untuk makluman semua, Scott merupakan individu yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan kejurulatihan termasuk pernah memegang pelbagai jawatan sebagai pengarah teknikal, ketua jurulatih dan juga seorang bekas pemain.

Antara jawatan yang pernah dipegang Scott adalah Pengajar Jurulatih/Pakar/Mentor FIFA, Pengajar Jurulatih AFC, Pengarah Teknikal di Capital Football (Persekutuan Bolasepak Australian Capital Territory) dan Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF).

Selain itu, Scott turut mempunyai pengalaman sebagai ketua jurulatih kelab Liga Singapura, Geylang United serta skuad kebangsaan Kemboja.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen