Written by 6:02 pm Badminton, Malaysia

Kejohanan Remaja Dunia 2022: Misbun Yakin Pemain Malaysia Mampu Muncul Juara

Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek melahirkan keyakinan pemain-pemain remaja negara mampu merangkul kejuaraan pada Kejohanan Remaja Dunia 2022 kelak.

Keyakinan itu hadir berdasarkan reputasi Malaysia yang pernah melahirkan juara dunia sebelum ini. Disamping itu, barisan kejurulatihan turut melakukan persiapan dengan mengkaji corak permainan para pemain dari setiap negara yang akan bersaing di kejohanan itu kelak.

“Kejohanan Dunia adalah (salah) satu daripada kejohanan besar, ia seperti (Sukan) Olimpik juga. Jadi, di situ, kita harus lihat bagaimana kita nak mencongak dan mengkaji status negara masing-masing, 

“Daripada (corak) pemain senior mereka ini, cara corak main (pemain) bawahan pun akan sama, apa kita nak buat ialah kita congak, (contohnya) kalau Indonesia, pemain juniornya macam mana? Apa kelebihan? Kalau pemain China, apa kelebihan? Kalau pemain Denmark, apa kelebihan? Mungkin ketinggian dia.

“Mudah-mudahan dengan adanya juara Kejohanan Remaja Dunia dan Kejohanan Remaja Asia sebelum ini, kita nak lebih banyak lagi (juara) daripada semua kategori supaya dengan adanya mereka ini dan bakat-bakat ini harus kita bela untuk (masa) akan datang.” katanya menerusi satu video yang dikongsikan oleh laman sosial BAM.

Sebagai rekod, antara pemain Malaysia yang pernah menjuarai Kejohanan Remaja Dunia ialah pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei (2015,2018) dan pemain perseorangan lelaki, Zulfadli Zulkifli (2011).

Selain itu, beberapa gandingan beregu lelaki seperti Nelson Heg-Teo Ee Yi (2011), Ow Yao Han-Yew Hong Kheng (2010), Mak Hee Chun-Teo Kok Siang (2009) dan Hoo Tien How-Tan Boon Heong (2004) antara yang turut meraih kejayaan di pentas ini.

Untuk makluman semua, kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 24-30 Oktober bertempat di Huelva, Sepanyol.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

(Visited 2,918 times, 3 visits today)
Close