Written by 2:18 pm Bola Sepak, Malaysia

Terengganu, Terengganu II, Sri Pahang & Penang Sertai Saingan Pramusim 4 Penjuru

Empat buah pasukan tempatan iaitu Terengganu FC, Terengganu FC II, Sri Pahang FC dan Penang FC membuat persiapan pramusim Liga Malaysia dengan menyertai pertandingan empat penjuru.

Menurut laporan Berita Harian, saingan empat penjuru tersebut akan berlangsung di Kuala Terengganu bermula 5 hingga 11 Februari dengan pasukan Terengganu sendiri sebagai tuan rumah.

Difahamkan, skuad berpangkalan di pantai timur mengadakan kejohanan tersebut selepas membatalkan perancangan pramusim di luar negara ekoran pandemik Covid-19 yang belum reda.

“Kita akan gunakan dua stadium dalam kejohanan itu nanti iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu dalam kejohanan yang diadakan hampir seminggu itu,” kata Ketua Pegawai Operasi Terengganu, Mohd Sabri Abas seperti dipetik daripada portal akhbar tersebut.

Mohd Sabri mengharapkan kejohanan pramusim ini dapat dimanfaatkan khususnya buat skuad Nafuzi Zain untuk mendapatkan keserasian sebelum bermulanya saingan liga lebih-lebih lagi pasukannya dibarisi ramai pemain import baharu.

Antara pemain baharu yang diikat skuad ‘Black and White’ ialah penyerang, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre, pemain tengah, Manuel Ott, serta pertahanan Luke Woodland dan Pape Diakite.

(Visited 9,224 times, 1 visits today)
Close