Artikel

Jurulatih Kelab EPL, Southampton Akan Latih Pemain Cyberlynx FC

Pemain-pemain kelab amatur, Kelab Bola Sepak Cyberlynx (Cyberlynx FC) bakal menerima bimbingan daripada jurulatih-jurulatih kelab yang beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), pada pertengahan tahun kelak.

Peluang ini hadir selepas Cyberlynx FC yang dimiliki oleh Kolej Antarabangsa Cyberlynx telah memeterai kerjasama dengan Southampton FC sebagai International Academy Partner, pada minggu lalu.

“Kerjasama strategik ini bakal membuka ruang kepada ramai pemain-pemain untuk meningkatkan mutu permainan, kemahiran bola sepak dan peluang untuk beraksi di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

Baca: Akademi Bola Sepak Cyberlynx Platform Kembangkan Karier Selepas SPM

“Pemain-pemain Cyberlynx juga bakal berlatih di bawah bimbingan jurulatih-jurulatih dari Southampton yang akan berkunjung ke Malaysia pertengahan tahun ini.” tulis kenyataan rasmi kelab.

Seperti kita sedia maklum, akademi Southampton cukup terkenal dengan melahirkan pemain-pemain berbakat yang terkenal seantero dunia seperti Alan Shearer, Theo Walcott, Gareth Bale, Alex-Oxlade Chamberlain, Luke Shaw, Kevin Philips, Wayne Bridge dan Ben White.

Untuk makluman semua, kolej ini telah ditubuhkan pada tahun 2006 dan menawarkan Diploma Pengajian Bola Sepak sebagai program utama di kolej tersebut. 

Selain itu, kolej ini turut mempunyai program ‘Student Athlete’ di mana semua pelajar di Cyberlynx diberi keahlian pelajar percuma dan akses kepada program pembangunan bola sepak profesionalnya dalam Cyberlynx FC.

komen