Written by 1:37 pm Bola Sepak, Lain-Lain, Malaysia

5 Skuad Kebangsaan Ternama Pernah Dihadapi Penyerang Baharu Kelantan, Kervens Belfort

Pasukan Liga Premier, Kelantan FC baru sahaja mengumumkan kemasukan penyerang baharu, Kervens Belfort yang merupakan pemain berasal dari negara yang terletak di kepulauan Carribean dan rantau Amerika Tengah iaitu Haiti.

Penyerang berusia 29 tahun ini juga merupakan pemain skuad kebangsaan negaranya dengan melakukan debut pada Mac 2010 ketika berusia 17 tahun. Sehingga kini, Belfort telah merekodkan sebanyak 40 penampilan dan menjaringkan 14 gol secara keseluruhan.

Baca: Kelantan Ikat Seorang Lagi Import Selama 3 Tahun – Kervens Belfort Dari Haiti

Sepanjang menyarung jersi skuad yang dikenali sebagai Les Grenadiers itu juga, Belfort berpeluang berentap dengan beberapa pasukan ternama dari rantau Amerika Utara, Amerika Tengah mahupun Amerika Selatan dan ‘berlaga bahu’ dengan beberapa pemain ternama dunia.

Berikut adalah lima skuad kebangsaan ternama yang pernah dihadapi oleh Kervens Belfort ketika menyarung jersi pasukan Haiti:

#1 Argentina (La Albiceleste)

Tarikh: 5/5/10 

Perlawanan: Persahabatan Antarabangsa

Skuad kebangsaan Argentina antara yang pernah dihadapi oleh Belfort. Lebih menarik, skuad La Albiceleste yang dihadapi oleh Belfort pada ketika itu dibimbing oleh mendiang Diego Maradona merangkap antara pemain terbilang dalam sejarah bola sepak dunia sambil dibarisi antara pemain ternama, Ariel Ortega. Dalam perlawanan ini, Belfort yang masih berumur 17 tahun dimasukkan pada minit ke-76 dan beraksi selama 14 minit. Perlawanan ini berakhir dengan Haiti tumpas 0-4 kepada Argentina.

#2 Sepanyol (La Roja)

Tarikh: 8/6/2013 

Perlawanan/Kejohanan: Persahabatan Antarabangsa

Antara pasukan besar yang pernah dihadapi Belfort adalah menentang Sepanyol yang  dibimbing oleh Vicente del Bosque. Walaupun sekadar beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, Belfort berpeluang berentap dengan sebilangan pemain yang merupakan juara Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 seperti Iker Casillas, Sergio Ramos, Gerard Pique, Cesc Fabregas, Andres Iniesta, Xavi Hernandez dan beberapa pemain lagi. Dalam perlawanan ini, Belfort bermula dalam kesebelasan utama skuad Haiti dan bermain selama 54 minit. Keputusan akhir, Haiti tewas 1-2 kepada Sepanyol. 

#3 Chile (La Roja)

Tarikh: 10/9/2014 

Perlawanan/Kejohanan: Persahabatan Antarabangsa

Seterusnya, Belfort bersama pasukannya, Haiti turut pernah bertemu Chile yang dilatih oleh Jorge Sampaoli dan dibarisi pemain-pemain seperti Alexis Sanchez, Mauricio Isla dan Eduardo Vargas. Dalam perlawanan ini, Belfort diberikan kepercayaan untuk bermula dalam kesebelasan utama dan sempat beraksi di atas padang selama 73 minit. Bagaimanapun, kemenangan tipis berpihak kepada Chila dengan keputusan 1-0.

#4 Colombia (Los Cafeteros)

Tarikh: 29/5/2016 

Perlawanan/Kejohanan: Persahabatan Antarabangsa

Antara pasukan dari benua Amerika Selatan yang pernah dihadapi oleh Belfort ialah Colombia yang ketika itu dibarisi pemain seperti Juan Cuadrado, Carlos Sanchez dan David Ospina. Dalam perlawanan persahabatan ini, Belfort turut bermula dalam kesebelasan utama dan bermain selama 62 minit sebelum digantikan dengan pemain lain. Kemenangan juga tidak berpihak kepada Haiti dengan Colombia melakar kemenangan 3-1. 

#5 Brazil (Selecao)

Tarikh: 9/6/2016

Perlawanan/Kejohanan: Copa America Centenario

Antara perlawanan terbesar pernah dihadapi oleh Belfort bersama skuad kebangsaan negaranya adalah menentang Brazil dalam kejohanan Copa America Centenario. Ketika itu, Haiti turun untuk menghadapi Brazil yang dibimbing oleh Dunga dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan B. Skuad yang terkenal dengan julukan Selecao ini bukan calang-calang pemainnya dengan dibarisi nama-nama seperti Philippe Coutinho, Casemiro, Dani Alves, Filipe Luis dan ramai lagi. Belfort bermula dalam kesebelasan utama namun beraksi selama 49 minit sahaja. Akan tetapi, pengakhiran perlawanan ini amat mendukacitakan buat Belfort dan Haiti dengan mereka tewas besar dengan skor 1-7 di tangan Brazil.

Featured Image: Instagram Kervens Belfort

(Visited 16,640 times, 37 visits today)
Close