Artikel

Stuart: ‘Kick-off’ Perlawanan Liga Malaysia 2022 Dicadangkan Kepada 8:15 Malam

Penganjur liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) membawakan satu cadangan pembaharuan terhadap waktu sepak mula (kick-off) untuk saingan Liga Malaysia 2022.

Menerusi makluman oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam dalam sesi Taklimat Kalendar Liga Malaysia 2022 secara dalam talian bersama pengamal media hari ini, cadangan sepak mula pada musim ini akan dimulakan berdasarkan 3 pilihan waktu.

Untuk venue yang berlangsung di semenanjung tanah air, sepak mula akan dijalankan dengan pilihan masa jam 8:15 atau 9:00 malam. Manakala, untuk bulan ramadan, sepak mula adalah bermula jam 10:00 malam.

Sementara itu, untuk perlawanan yang berlangsung di venue di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak, ianya akan dimulakan dengan pilihan waktu pada jam 7:30 atau 8:30 malam. Manakala untuk bulan ramadan, sepak mula adalah pada pukul 9:15 malam.

MFL menjangkakan perubahan waktu sepak mula ke arah yang lebih awal ini dapat memberikan pertambahan penonton ke stadium terutamanya kalangan penonton bawah umur seperti kanak-kanak.

Pada masa yang sama, ianya dapat memberi impak terhadap tontonan siaran langsung sekaligus memberikan kelebihan peluang penajaan dan hak penyiar rasmi.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen