Written by 10:55 am Bola Sepak, Malaysia

Slot Piala AFC 2023 Dikembalikan Kepada Juara Piala FA

Juara saingan liga kalah mati atau dikenali sebagai Piala FA 2022 kembali diberikan slot automatik ke pentas antarabangsa, Piala AFC pada musim hadapan.

Sementara itu, pasukan yang menamatkan saingan di tangga kedua Liga Super masih mendapat slot yang sama sebagaimana diamalkan sebelum ini.

Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam dalam sesi Taklimat Kalendar Malaysia 2022 secara dalam talian bersama pengamal media, baru-baru ini.

Stuart Ramalingam – Foto: FAM

“Juara Liga Super akan layak untuk menyertai Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan tempat kedua Liga Super serta juara Piala FA akan layak untuk menyertai Piala AFC.”

“Sekarang, kita kembali kepada format asal, untuk dua tahun yang lepas disebabkan ketiadaan (penganjuran) Piala FA, (juara) Piala Malaysia diberikan pengiktirafan untuk mendapatkan slot Piala AFC tetapi bergerak kehadapan, slot ini diberikan kembali kepada Piala FA.” katanya dalam sesi terbabit.

Sebagai rekod, juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC (KL City) memperoleh slot untuk menyertai Piala AFC pada musim ini sambil ditemani oleh Kedah Darul Aman FC (Kedah) selaku naib juara Liga Super 2021.

Pada musim 2020, saingan Piala Malaysia dibatalkan dan slot ke Piala AFC diberikan kepada pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2020 di tangga kedua dan ketiga iaitu Kedah dan Terengganu FC.

(Visited 4,093 times, 1 visits today)
Close