Artikel

MOTM Menentang JDT, Muhammad Jadi Milik Kuala Lumpur City

Pertahanan tengah yang dinobatkan sebagai pemain terbaik ‘Man of The Match’ (MOTM) ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim dalam saingan Liga Super musim lalu disahkan menjadi milik Kuala Lumpur City FC (KL City).

Pemain tersebut ialah Muhammad Mohd Faudzi atau lebih dikenali sebagai Amad, bakal menginjak usia 26 tahun, diumumkan menjadi pemain skuad ibu kota menerusi satu makluman rasmi di pelbagai platform media sosial pasukan berkenaan, Jumaat lalu.

Persembahan Amad ketika menentang skuad Harimau Selatan pada tahun lalu menjadi momen yang mengangkat namanya meniti dibibir-bibir peminat bola sepak tempatan. 

Manakan tidaknya, aksi Amad dalam perlawanan tersebut berhasil mengekang penyerang-penyerang JDT daripada menjaringkan sebarang gol sekaligus membantu Terengganu meraih kemenangan 1-0 di gelanggang keramat milik JDT itu.

Untuk makluman semua, Amad yang mengidolakan pertahanan yang kini menjadi staf kejurulatihan KL City, Shukor Adan merekodkan 13 penampilan dengan 916 minit masa permainan sepanjang musim lalu.

Sebagai tambahan, selain diangkat sebagai MOTM ketika menentang JDT, Amad turut dipilih sebagai MOTM kelabnya ketika menentang Kedah Darul Aman FC (Kedah) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) ketika aksi ke-19 Liga Super.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen