Artikel

Bekas Kapten Selangor Balik Kampung Sertai Newcastle Jets

Setelah 3 musim beraksi dalam saingan Liga Malaysia, bekas kapten Selangor FC dan Sarawak United FC, Taylor Regan kembali ke Australia.

Kepulangan pertahanan berusia 33 tahun ini ke kampung halamannya turut diserikan dengan menyertai kembali kelab di zaman remajanya, Newcastle Jets yang beraksi dalam saingan A-League.

Penyertaan kembali Taylor diumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial milik pasukan yang bergelar The Jets ini, pada hari ini.

“Terdapat beberapa tawaran daripada kelab lain dalam A-League, tetapi ianya tidak boleh dibandingkan dengan (tawaran) kampung halaman,” kata Taylor dalam kenyataan rasmi kelab.

Dimaklumkan, Taylor akan bersama dengan Newcastle Jets sehingga ke penghujung saingan A-League musim 2021/22. Ketika ini, dia telah pun menyertai latihan bersama pasukan dan sedia untuk diturunkan pada perlawanan berikutnya.

Sebagai rekod, Taylor menyertai skuad Red Giants kendalian B. Satiananthan selama dua musim, bermula tahun 2019. Dia kemudiannya, menyertai pasukan Liga Premier, Sarawak United pada musim 2021 dan membantu pasukan tersebut meraih promosi ke saingan Liga Super 2022.

komen