Artikel

FAM ‘Tiru’ Jejak Langkah Vietnam Guna Khidmat Ketua Jurulatih Korea

Langkah yang diambil oleh negara serantau, Vietnam, menggunakan khidmat ketua jurulatih dari Republik Korea nampaknya diikuti oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden badan induk bola sepak negara, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mengumumkan perlantikan jurulatih dari negara berkenaan, Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu secara rasmi, dalam sidang media di Wisma FAM, pada hari ini.

Untuk pengetahuan semua, karier kejurulatihan Pan-gon yang berusia 52 tahun ini banyak bertumpu di negara bekas wilayah jajahan British iaitu Hong Kong samada di peringkat kelab mahupun skuad kebangsaan.

Menariknya, ketika membimbing skuad kebangsaan Hong Kong, jurulatih kelahiran Jinju, Gyeongsang ini berjaya menumpaskan Malaysia 2-0 yang dibimbing oleh Nelo Vingada pada pusingan kelayakan Piala Asia pada tahun 2017.

Perlantikan ini adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe yang mengumumkan meletakkan jawatan sejurus sahaja gagal membawa skuad Harimau Malaya mara ke peringkat separuh akhir di kejohanan Piala AFF, Disember lalu.

Dimaklumkan, Pan-gon diberikan kontrak selama 2 tahun dengan pilihan lanjutan selama 2 tahun. Dia bakal tiba di Malaysia selewat-lewatnya pertengahan Februari dan bakal membawa bersama empat staf kejurulatihannya yang tersendiri kelak.

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo.

Untuk makluman semua, Vietnam melantik jurulatih Korea, Park Hang-seo sebagai pengendali skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) dan senior bermula tahun 2017.

Sejak daripada itu, prestasi kedua-dua skuad Vietnam itu meningkat dengan sangat ketara. Antaranya, skuad B-23 meraih tempat keempat dalam Sukan Asia dan muncul naib juara Kejohanan B-23 AFC 2018.

Untuk skuad senior pula, Vietnam di bawah bimbingan Hang Seo telah muncul sebagai juara Piala AFF 2018 dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen