Artikel

Pemain Naturalisasi, Matdon Tersenarai Dalam ‘Team Of The Week’ Liga Super India

Pemain tengah naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi yang beraksi bersama Odisha FC tersenarai dalam ‘Team Of The Week’ pada minggu ke-13 saingan Liga Super India (ISL).

Liridon atau dikenali sebagai Matdon tersenarai selepas menampilkan persembahan yang cemerlang terutamanya dalam aspek defensif ketika beraksi dalam ‘away games’ menentang ATK Mohun Bagan.

Senarai pemain yang membarisi ‘Team Of The Week’ ini disiarkan secara rasmi menerusi laman sesawang dan pelbagai platform media sosial milik liga terbabit, semalam.

Laman sesawang ISL turut memberikan rating 7.38 kepada Matdon hasil daripada sumbangannya yang menyudahkan 90% hantaran, mencipta empat peluang, melakukan empat bentesan serta dua hadangan.

Persembahan pemain yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama rakan-rakannya yang lain memastikan Odisha FC mendapat sekurang-kurangnya 1 mata hasil daripada seri tanpa jaringan di gelanggang lawan, Stadium Pandit Jawaharlal Nehru.

Sebagai tambahan, senarai ‘Team Of The Week’ ini turut menyenaraikan tiga rakan sepasukan Matdon iaitu penjaga gol Arshdeep Singh, pertahanan Victor Mongil dan penyerang Aridai Suarez.

komen