Artikel

Penjaga Gol Muda Kelahiran Jerman Miliki Pasport Malaysia Direkrut PDRM FC

Penjaga gol kelahiran Stanberg, Jerman yang memiliki pasport Malaysia, Julian Johan Bechler menjadi rekrut terbaru Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Pasukan yang mendapat julukan The Cops mengumumkan penyertaan pemain berusia 20 tahun ini secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosialnya, semalam.

PDRM yang dibimbing oleh Wan Rohaimi Wan Ismail mengambil peluang untuk mendapatkan Julian setelah kelab lamanya, Kuala Lumpur City FC (KL City) memutuskan untuk melepaskannya.

Baca: ‘Melahirkan Bintang Kalangan Pemain Muda’ Menjadi Falsafah PDRM FC

Untuk pengetahuan semua, Julian menjadi penjaga gol kedua yang direkrut oleh PDRM pada jendela perpindahan kali ini. 

Sebelum ini, mereka telah mengikat khidmat penjaga gol skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Firdaus Irman. Disamping itu, PDRM turut mengekalkan penjaga gol berusia 23 tahun, Muhd Asri Muhamad.

Julian ketika menandatangani kontrak bersama JDT sambil ditemani oleh Pengarah Teknikal, Alistair Edwards.

Sebagai rekod, Julian mula menyertai kancah bola sepak tempatan dengan menyertai skuad bawah umur Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2019 sebelum berpisah dengan pasukan ini pada tahun 2020.

Sebagai tambahan, sebelum menyertai JDT, Julian pernah beraksi dengan beberapa pasukan dalam saingan Liga Jerman seperti TuS Hornau, SC Hessen Dreieich dan SG Red-White Frankfurt.

komen