Artikel

Kejuaraan AFF B-23: Brad Maloney Rancang Tiga Perlawanan Persahabatan

Ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), Brad Maloney merancang sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan untuk menguji anak-anak buahnya sebelum menempuh Kejuaraan AFF B-23, di Kemboja kelak.

Menurut laporan akhbar tempatan, Kosmo, jurulatih kelahiran Australia ini bercadang untuk menguji skuad Harimau Muda bimbingannya menentang sebuah kelab tempatan serta dua buah pasukan negara sebelum mengharungi kejohanan yang dijadualkan berlangsung bermula 14-26 Februari hadapan.

Brad Maloney

“Kita akan lakukan tiga perlawanan persahabatan dengan satu aksi lagi berkemungkinan menentang Sabah dan dua lagi adalah pasukan luar negara ia­itu Brunei dan Singapura tetapi masih belum dapat disahkan.

“Jika gagal bertemu pasukan Brunei atau Singapura, mungkin kita akan fokus dengan aksi persahabatan seterusnya melibatkan kelab-kelab Liga Malaysia,” kata Coach Brad dipetik daripada portal akhbar terbabit.

Baca: Harimau Muda Diundi Bersama Juara Bertahan, Indonesia Dalam Kumpulan B

Sabtu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 30 pemain yang dipanggil oleh Coach Brad untuk menyertai kem latihan pusat yang akan bermula pada hari ini.

Daripada 30 pemain yang dipanggil, jurulatih berusia 50 tahun ini hanya mengekalkan sembilan pemain daripada skuad yang dibawa ke saingan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia, Oktober tahun lalu.

Sembilan pemain tersebut ialah Umar Hakeem Suhar Rezwan, Shafi Azswad Sapari, Faiz Amer Runnizar, Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Azhad Harraz Arman, Nur Azfar Fikri Azhar, Syed Nasrulhaq Syed Bidin, T. Saravanan dan Aiman Afif Afizul.

Selebihnya adalah muka baharu dan muka-muka yang pernah dipanggil dalam kem latihan sebelum daripada itu termasuk pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Kamal.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen