Artikel

Juara Piala AFF Rancang Uji Malaysia Yang Dibimbing ‘Coach’ Pan-gon Pada Bulan Depan

Pasukan juara Piala AFF 2020, Thailand merancang untuk mengadakan satu perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Malaysia yang akan dikendalikan ketua jurulatih baharu, Kim Pan-gon pada bulan hadapan.

Selain Malaysia, skuad Gajah Perang itu turut berhajat untuk menentang sebuah pasukan asia dari rantau asia tengah iaitu Kyrgyzstan pada rehat antarabangsa FIFA, pada bulan tersebut.

Perancangan ini dimaklumkan sendiri oleh pengurus skuad kebangsaan Thailand, Nualphan Lamsam atau dikenali ramai sebagai Madam Pang menerusi laporan media yang berpangkalan di negara tersebut.

Bagaimanapun, dua perlawanan ini masih lagi di peringkat perancangan dan beliau akan berbincang lanjut dengan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) serta ketua jurulatihnya, Mano Polking sebelum memutuskannya.

Sebagai rekod, pertemuan terakhir yang menemukan Thailand dan Malaysia adalah di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tahun lalu. 

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan skuad Harimau Malaysia berhasil meraih kemenangan 1-0 ke atas Thailand hasil jaringan tunggal oleh penyerang sayap, Safawi Rasid.

Untuk makluman semua, rehat antarabangsa FIFA pada bulan hadapan dijadualkan bermula 21hb hingga 29hb Mac.

Featured Image: Changsuek

komen