Artikel

Goh Jin Wei Umum Sambung Karier Badminton Sebagai ‘Independent Player’

Pemain perseorangan wanita negara merangkap juara remaja dunia sebanyak dua kali, Goh Jin Wei yang bersara sekitar dua bulan lalu mengumumkan menyambung kembali karier badmintonnya.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun ini akan kembali beraksi sebagai ‘independent player’ atau pemain bebas bukan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkembangan terbaru ini diumumkan sendiri oleh Jin Wei menerusi satu video berdurasi dua minit yang dimuat naik di saluran (channel) miliknya di Youtube, malam tadi.

“Semua orang tahu, saya telah bersara daripada skuad kebangsaan dua bulan lalu, sejak daripada itu saya hidup dalam penyesalan setiap hari.” 

“Tidak dinafikan badminton telah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya sangat berharap untuk kembali bermain tanpa menghiraukan sebarang status atau tahap.”

“Buat masa sekarang, saya berhajat untuk menyambung karier (badminton) saya sebagai pemain bebas.” kata pemain kelahiran Pulau Pinang ini.

Dalam video yang sama, Jin Wei turut berkongsikan hasratnya untuk kembali beraksi di gelanggang turut mendapat perhatian BAM dan telah dipelawa untuk kembali bersama skuad kebangsaan.

Jin Wei bersama trofi Kejohanan Remaja Dunia yang dimenanginya pada tahun 2018

“Saya sangat berbesar hati dipelawa menyertai (kembali) skuad kebangsaan, saya tidak dapat jelaskan bagaimana perkara ini sangat bermakna buat saya,”

“Ini merupakan penghormatan yang besar buat saya untuk menerima pelawaan sebegini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada skuad kebangsaan kerana mempercayai saya,” tambahnya.

Bagaimanapun, pelawaan tersebut ditolak dengan baik oleh Jin Wei kerana tidak mampu memberikan komitmen 100% serta memenuhi tuntutan dan kelayakan untuk skuad kebangsaan buat masa ini kerana masalah kesihatannya.

Pada pendapatnya, perkara ini akan merugikan negara dan menutup peluang buat pemain lain bersama skuad kebangsaan.

Untuk makluman semua, Jin Wei membuat keputusan mengumumkan persaraan sekitar September 2021 kerana bergelut dengan tahap kesihatannya selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian ususnya pada tahun 2019.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen