Selepas tiga musim beraksi di Kuantan, pertahanan tengah tinggi lampai berketinggian 1.95 meter (m), Herold Goulon membuat keputusan untuk berhijrah ke Paroi dengan menyertai pasukan juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC.
Penghijrahan pemain kelahiran Perancis ini disahkan oleh skuad Hoben Jang Hoben menerusi makluman di pelbagai platform media sosial milik mereka beberapa hari lalu.
Goulon yang mula beraksi di pentas Liga Malaysia bermula tahun 2019 cukup dikenali bukan sahaja sebagai pertahanan yang kental malahan sebagai pemain yang mampu menjaringkan gol buat pasukan.
Pastinya ramai peminat bola sepak tempatan tidak dapat melupakan jaringan jarak jauh oleh Goulon berpunca daripada sepakan percuma di kawasan sendiri berhasil menerjah gawang ketika menentang Perak pada perlawanan separuh akhir Piala FA 2019.
Berdasarkan rekod, pemain ini berhasil menjaringkan 13 gol daripada 48 penampilannya ketika beraksi bersama Pahang. Selain itu, Goulon juga berkebolehan untuk beraksi sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder) dan pemain tengah (centre midfielder).
Untuk makluman semua, di awal kariernya, Goulon pernah berkelana di Liga Inggeris dengan bermain bersama Middlesbrough dan Blackburn Rovers.
Featured Image: Negeri Sembilan FC