Kejohanan Syed Modi: Jin Wei Bentuk Beregu Campuran Bersama June Wei Namun Menarik Diri
January 4, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain perseorangan wanita merangkap juara dunia remaja sebanyak dua kali, Goh Jin Wei dan pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei dilihat membentuk gandingan untuk beraksi dalam kategori campuran. 

Jin Wei dan June Wei turut menunjukkan tahap keseriusan pembentukan gandingan tersebut dengan mendaftarkan diri mereka untuk beraksi dalam Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 18-23hb Januari kelak di Lucknow, India.

Bagaimanapun, menurut kemaskini oleh ‘M&Q Reports’, gandingan baharu ini tidak dapat dilihat di kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 300 BWF ini apabila mereka membuat keputusan untuk menarik diri pada 23 Disember yang lalu.

Tangkap layar M&Q Report bagi Kejohanan Syed Modi 2022

Selain itu, Jin Wei yang mahu menyambung semula karier badmintonnya turut mendaftarkan diri untuk beraksi dalam kategori perseorangan wanita. Namun, perkara yang sama iaitu menarik diri turut dilakukannya juga pada tarikh yang sama.

Berkemungkinan besar penarikan diri oleh pemain wanita berusia 21 tahun dilakukan atas faktor kesihatannya. 

Sementara itu, June Wei yang menghuni ranking ke-73 dunia kekal mengambil bahagian di kejohanan terbabit dalam kategori perseorangan lelaki. Antara pemain perseorangan Malaysia yang turut dilihat menyertai kategori tersebut ialah Ng Tze Yong dan Soong Joo Ven.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen